Calon Pakatan Di Kedah Mesti Asal, Tinggal Dan Menetap Di Dun - Mukhriz


ALOR SETAR - Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir menegaskan bahawa kriteria penting calon yang mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini adalah "anak tempatan".

Mengulas mengenai istilah "anak tempatan" itu, Mukhriz menegaskan bahawa calon itu perlu berasal dari kawasan tersebut, tinggal dan menetap di kawasan berkenaan.

"Salah satu kriteria yang penting adalah kepada mereka yang bertanding di kerusi-kerusi tertentu, mereka haruslah datang dari kawasan situ, tinggal di situ, duduk di situ," tegas Mukhriz, memetik katanya kepada FMT baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Mukhriz berkata, kriteria tersebut bukanlah suatu yang wajib bagi setiap calon yang mewakili Pakatan Harapan.

Mukhriz ketika menjadi Menteri Besar Kedah sebelum ini sering dikritik ekoran keluarganya tidak berpindah dan menetap di negeri ini, sebaliknya beliau terpaksa berulang-alik ke ibu negara untuk bersama keluarga hampir setiap minggu.

Gara-gara itu, beliau dikatakan sangat jarang turun ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Hitam yang diwakilinya dan hanya mengharapkan wakil yang dilantik sahaja.

Turut difahamkan bahawa situasi itu mencetus kebimbangan kepada pemimpin UMNO di Bahagian Jerlun yang menasihatkan beliau supaya cuba meluangkan lebih banyak masa bersama rakyat Ayer Hitam dan mengambil peduli tentang kebajikan mereka.

Meskipun tidak dapat dipastikan Dun yang bakal ditandingi Mukhriz, namun desas-desus mendakwa beliau berkemungkinan akan kekal bertanding di Dun Ayer Hitam atau Dun Suka Menanti, dan yang terbaru mengatakan beliau mungkin akan bertanding di Dun Jitra.

Biarpun PPBM sebelum ini dikritik hebat oleh rakan sekutunya kerana membolot banyak kerusi Parlimen, namun Mukhriz menegaskan bahawa partinya akan bertanding di 14 kerusi Dun Kedah.

Sementara itu, PKR dan PAN pula hanya diberikan 10 kerusi Dun untuk ditandingi, manakala kemahuan DAP untuk bertanding di 4 buah kerusi Dun tidak kesampaian dan terpaksa berpuas hati untuk kekal dengan dua kerusi Dun sedia ada sahaja. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com