Calon Luar Kawasan Beri Kesan Negatif Kepada Pengundi


JASIN – Tindakan parti politik pembangkang menamakan calon luar yang tidak dikenali oleh pengundi di sesuatu kawasan merupakan tindakan yang memberikan impak negatif kepada pengundi, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Beliau berkata adalah menjadi harapan utama pengundi di sesuatu kawasan agar wakil rakyat yang dipilih sentiasa berada di kawasan itu untuk membantu mereka, justeru ini akan menimbulkan masalah sekiranya calon itu tidak tinggal secara tetap di kawasan tersebut.

Penyandang kerusi Parlimen Jasin itu berkata lebih memburukkan keadaan, apabila calon luar itu tidak memahami isu semasa di kawasan berkenaan dan langsung tidak mengetahui apa yang diperlukan untuk membangunkan kawasan yang terlibat.

“Amalan tidak sihat itu (meletakkan calon luar) dikhuatiri akan memberi impak negatif terhadap pengundi yang mana mereka akan berdepan kesulitan apabila ingin menyalurkan masalah atau aduan secara terus berikutan wakil rakyat terbabit menetap di luar kawasan.

“Bagaimanapun, saya yakin dan percaya pengundi kini semakin matang dan lazimnya mereka lebih cenderung memilih calon tempatan yang akan berusaha tanpa mengira musim untuk menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang jika diberikan mandat,” katanya kepada Bernama.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas pengesahan Penyelaras gerakan Deklarasi Rakyat, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berasal dari Pulau Pinang yang beliau adalah anggota parti Amanah dan akan bertanding mewakili parti itu di Parlimen Jasin pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pada PRU12 di Parlimen Jasin, Ahmad mewakili Barisan Nasional (BN) menewaskan calon PKR Zulkefly Othman dengan majoriti 12,728 undi manakala pada PRU13 di kawasan sama, beliau menang dengan majoriti 11,763 undi dengan menewaskan calon PKR Rahmat Yusof.

Berdasarkan daftar pemilih suku keempat tahun 2017, Melaka mempunyai 495,645 pengundi dan daripada jumlah itu 73,590 adalah pengundi Parlimen Jasin iaitu jumlah pengundi keempat paling ramai daripada keseluruhan enam kawasan Parlimen di negeri ini.

Ahmad berkata pendekatan itu jelas berbeza dengan BN yang sentiasa memberi keutamaan untuk meletakkan calon yang boleh menjalankan tugas dan menggalas amanah serta disukai pengundi sekali gus mampu membawa kemenangan besar kepada parti.

“BN fokus untuk berkhidmat kepada rakyat, maka kita yakin akan memperoleh sokongan daripada pengundi dan juga dengan keupayaan jentera BN, kita yakin akan dapat mempertahankan kerusi Parlimen Jasin pada PRU14,” katanya.  – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com