Buruh Di Baling Cedera Ditetak Akibat Hutang RM30


ALOR SETAR - Seorang buruh ditetak sekumpulan lelaki yang juga rakannya gara-gara berhutang RM30 sekitar jam 8.15 malam Ahad.

Namun, mangsa berusia 45 tahun itu hanya mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan tangan kiri selepas diserang dengan parang di rumahnya di Jalan Sekerat, Tawar, Baling.

Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof, berkata kejadian dipercayai membabitkan tiga suspek berusia antara 20-an hingga 30-an dikenali mangsa, berpunca daripada hutang dan tidak puas hati.

"Sejurus menerima laporan kejadian, anggota membuat tangkapan ke atas tiga suspek terbabit di tepi Jalan Kampung Baru, Sungai Tawar, kira-kira jam 9 malam hasil maklumat orang awam.

"Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai kerana hutang," katanya memetik BH Online.

Jelasnya, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Baling (HB) sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil. - Kedahnews.com


  

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com