Bukan Hanya Kehilangan Isteri Tercinta, Abdul Hajan Turut Jadi Mangsa Fitnah


Ahli Jawatankuasa UMNO Semporna, Datuk Abdul Hajan Gurimbang bukan sahaja kehilangan isteri tercinta dalam kemalangan jalan raya dan terpaksa menunda majlis perkahwinan anak perempuannya, tapi turut berdepan dengan fitnah. Semuanya berlaku hanya dalam sehari.

Ia susulan tular mesej bahawa beliau meninggal dunia dalam kemalangan pada Selasa lepas dan lebih malang, Abdul Hajan difitnah kononnya terdapat kotak mengandungi duit kertas dalam keretanya.

Realitinya, Abdul Hajan tiada di situ semasa kemalangan sebaliknya berada di Semporna.

Mereka yang terlibat dalam kemalangan itu isteri yang dikahwininya sejak 30 tahun lalu, Datin Rositah Abdul Ghani Shah, 54,  anak mereka yang juga bakal pengantin, Nurul Zafirah, 23 serta pemandu mereka, Sulaiman Harianto, 28,


Sulaiman meninggal dunia serta merta manakala Rositah meninggal dunia akibat kecederaan parah pada Khamis lalu.

Abdul Hajan berkata, memang isterinya ada membawa wang tapi bukannya sekotak penuh duit seperti yang difitnah itu sebaliknya hanya duit untuk Rositah dan anaknya membeli barang-barang bagi persiapan perkahwinan Nurul Zafirah.

Nurul Zafirah, anak keempat daripada tujuh beradik berusia antara 12 dan 28, sepatutnya mengangkat nikah dengan tunangnya dari Kalimantan semalam dan majlis resepsi pula dijadualkan hari ini.

“Dia mengalami patah kaki dan kini berehat di rumah di Semporna. Selepas kenduri tahlil untuk Rositah, saya akan tetapkan tarikh lain untuk majlis Nurul Zafirah supaya saya dapat memenuhi hasrat isteri saya,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut melahirkan rasa terkejut dengan fitnah tersebut.

“Astaghfirullahalazim. Ke mana hilangnya perikemanusiaan dan perasaan simpati, tergamak bertindak sebegini keji, guna tragedi yang mengorbankan nyawa sebagai bahan politik penuh kebencian, melampau! Ingatlah pesan Allah SWT, “Dan memfitnah itu lebih buruk daripada membunuh”.

Takziah saya ucapkan kepada keluarga pemandu yang terkorban dan juga kepada Datuk Abdul Hajan Gurimbang yang kehilangan isteri tercinta, semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat. Al-Fatihah,” kata beliau yang menulis dalam Facebooknya, semalam.

Sumber: Suara TV

#fakenews
#JomBN
#BersamaBN
#PHitnah
#HarapanFitnah

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com