Budak Sekolah Pecah Tabung Masjid Kulim Sebab Nak Beli Dadah


ALOR SETAR - Dua adik beradik antara tiga remaja yang berjaya ditahan polis dipercayai menjadi dalang kepada kes pecah tabung Masjid Al Huda, Kampung Sungai Kecil Ulu, Bandar Baharu, Kulim , semalam.

Ketua Polis Bandar Baharu, Deputi Superintendan Baruddin Wariso berkata, ketiga-tiga suspek berusia 15, 16, dan 17 tahun, mereka yang ditahan itu masih bersekolah.

Dilaporkan bahawa ketiga-tiga suspek itu dipercayai melakukan kegiatan pecah tabung masjid untuk membeli bekalan dadah.

“Sebenarnya tabung di masjid terbabit sudah lapan kali dipecahkan pencuri dan kita hanya terima laporan dari AJK masjid pada 30 Mac lalu apabila wang RM1,800 dilarikan.

“Akibat kejadian tersebut, pihak masjid mengambil inisiatif membuat intipan dan berjaya menangkap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ketika ketiga suspek tersebut sedang melakukan aktiviti pecah tabung masjid kira-kira jam 2.30 pagi.

“Bagaimanapun dua lagi remaja iaitu pasangan adik beradik berjaya melarikan diri, namun ditahan polis di kediaman mereka di Bandar Baharu pada hari sama,” katanya memetik Sinar Harian.

Ketika ditahan, pelbagai barangan yang telah diubahsuai seperti dawai dan pemutar skru dipercayai sebagai alatan melakukan aktiviti pecah tabung masjid berjaya dirampas.

Selain itu, hasil ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek lelaki berkenaan didapati positif dadah methamphetamine.

"Mereka direman sehingga 7 April ini dan ditahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

“Kita percaya dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek ini, kes pecah tabung beberapa masjid di sini berjaya diselesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai terutama ibu bapa diingatkan supaya sentiasa memantau aktiviti anak remaja mereka supaya tidak terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Jangan biarkan anak-anak bergaul tanpa batasan dan akhirnya terlibat dengan dadah,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com