“Buat Majlis Kahwin Di Lorong Gelap, Apa Kes?”


TEMPAT yang mewah dan gah biasanya menjadi impian buat kebanyakan para pengantin di Malaysia yang ingin mengadakan majlis perkahwinan.

Namun, lorong gelap di celah bangunan menjadi tempat pilihan oleh sepasang pengantin dari Kulai, Johor yang menjadi tanda tanya oleh semua pihak.

Lapor mStar, Mohd Hafiszi Ngadmin, 33, dan pasangannya, Nornadiya Arjudin, 30, mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih lokasi berkenaan untuk melangsungkan hari bersejarahnya.


“Sebenarnya kami nak sewa villa atau homestay, tapi pemilik tak benarkan kami langsungkan majlis kahwin di situ. Isteri saya pula tinggal di pangsapuri. Jadi agak susah untuk buat majlis melibatkan tetamu yang ramai.

“Akhirnya saya dapat ilham untuk buat majlis di celah bangunan yang mana ia sebenarnya bersebelahan lokasi kafe adik saya,” jelasnya.


Majlis tersebut yang berlansung pada jam 8 malam Sabtu lepas dimulai dengan majlis akad nikah sebelum upacara bersanding, makan malam dan sesi beramah mesra dengan tetamu.

Ujar Hafiszi, tempat majlis tersebut diadakan hanya memperuntukan perbelanjaan sebanyak RM10,000 dengan cara yang santai.


“Selain kanopi, pelamin dan makanan, saya juga beli karpet untuk tetamu makan bersila. Sebenarnya majlis macam ni lebih santai. Dalam ruang yang tak begitu besar, senang kami nak beramah mesra dengan semua tetamu,” katanya.


Hafiszi yang merupakan pengusaha bengkel kereta sudah empat tahun berkenalan dengan isterinya. Dia telah sah menjadi suami kepada Nornadiya dengan sekali lafaz.

Foto majlis berkenaan telah dimuat naik ke akaun twitter miliknya dan tular di media sosial. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com