BR1M Bukan Rasuah, Turut Dilaksana Di Pelbagai Negara - PM


KUALA KANGSAR - Datuk Seri Najib Razak berkata pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan rasuah politik untuk meraih undi kerana ia turut dilaksanakan di negara lain seperti Amerika Syarikat, Singapura dan Arab Saudi tetapi dengan kaedah berbeza.

Perdana Menteri berkata, di Amerika Syarikat ia dilaksanakan menerusi pemberian kupon makanan yang boleh digunakan penerimanya di pasar raya manakala di Arab Saudi dimasukkan terus ke dalam akaun bank dan di Singapura dengan cara dimasukkan ke dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

"Kita bagi tunai sebab rakyat boleh pergi beli di pasar raya, boleh pergi pasar tani, beli nasi lemak pun boleh, beli apa pun boleh, ini atas tangan rakyat buat pilihan," katanya berucap pada Program Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Bersama Perdana Menteri di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz; EXCO kerajaan negeri, Datuk Saarani Mohamad serta Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjanjikan kenaikan BR1M hingga RM2,000 setahun kerana beliau memegang prinsip apabila ekonomi negara bertambah baik, maka kekayaan itu harus diagihkan kepada rakyat.

Malah, katanya, pengagihan BR1M juga dilakukan tanpa pilih kasih apabila ada kalangan penyokong pembangkang yang layak turut menerimanya malah ada kalangan mereka yang lebih awal datang ke program pemberian insentif itu untuk menerimanya.

"Saya guna prinsip bila ekonomi bertambah baik, ditokok tambah dengan pengurusan berhemah, minyak naik, hasil naik, mesti dipulangkan balik kepada rakyat.

"Apa cara? Guna BR1Mlah. Secara analoginya, zaman pemimpin berusia 93 tahun jadi perdana menteri, buat jalan sampai depan rumah sahaja tetapi zaman saya kita buat jalan sampai ke dapur rumah.

"Tahun ini dapat BR1M RM2,000, kalau ada rezeki, tahun depan kita tengok. Saya tidak kedekut, kalau ekonomi baik, kita bagi kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, pembangkang sebelum ini menuduh BR1M sebagai rasuah dan menyifatkannya sebagai pemberian 'dedak' seperti haiwan tetapi apabila rakyat marah kerana dihina seperti itu, pembangkang turut memasukkan perkara berkenaan dalam manifesto mereka.

Justeru, katanya, PRU-14 adalah penting untuk meneruskan kesinambungan kerajaan BN sekarang demi masa depan rakyat dan generasi akan datang.

Najib berkata, PRU-14 bukan membabitkan isu peribadi tetapi bagi memastikan masa depan rakyat dan generasi akan datang terbela terutama di Perak yang sudah merasai pengalaman berada di bawah pentadbiran pakatan pembangkang selama 11 bulan selepas PRU-12.

"Orang 93 tahun bukan cerminan muka masa depan Malaysia. Bukan nak hina dia (Tun Dr Mahathir Mohamad) tapi ini realiti," katanya.

Malah, katanya, Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw yang juga seorang doktor perubatan mengakui bahawa orang yang berusia 93 tahun tidak mungkin boleh mengubah cara pemikiran walaupun sudah berubah daripada parti pemerintah kepada parti pembangkang.

Najib juga berkata, Seng Giaw juga tidak dicalonkan semula oleh DAP pada PRU-14 kerana bercakap benar mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Seng Giaw cakap Perdana Menteri tidak buat apa-apa salah dalam 1MDB. Dia bercakap benar mengenai 1MDB, jadi dia tidak dapat jadi calon," katanya.

Beliau berkata, ia menunjukkan sikap sebenar DAP yang tidak boleh menerima perbezaan pendapat atau memberikan pandangan yang tidak selari dengan pucuk kepimpinan parti berkenaan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com