Bom Perang Dunia II Dimatikan Di Berlin


BERLIN - Beberapa bangunan utama di sini, bakal dikosongkan pada Jumaat ini bagi memberi laluan kepada pihak berkuasa mematikan bom era Perang Dunia Kedua, kata polis baru-baru ini.

Menurut polis antara bangunan yang terbabit adalah stesen kereta api, bangunan kementerian ekonomi, muzium dan sebahagian daripada Hospital Charite.

Bom milik British seberat 500 kilogram itu ditemui, ketika kerja-kerja pembinaan bangunan di tengah Berlin dan semua bangunan yang berada dalam lingkungan 800 meter dari bom itu akan dikosongkan mulai jam 9.00 pagi waktu tempatan, kata polis menerusi Twitter.

Jurucakap polis, Martin Halweg berkata, setakat ini masih tidak jelas berapa lama pengosongan itu akan berlangsung atau sama ada lapangan terbang Tegel turut terjejas.

"Kita menjalankan operasi mematikan bom seperti skala ini satu atau dua kali setahun di Berlin. Bom ini selamat, justeru keadaan semasa tidak merbahaya," kata polis dalam muat naik di Twitter.

Jerman masih menemui lebih 2,000 tan bom dan peluru hidup setiap tahun walaupun Perang Dunia Kedua sudah berakhir lebih tujuh dekad.

Tahun lalu, kira-kira 60,000 orang dikosongkan dari kediaman mereka di Frankfurt, selepas sebuah bom besar yang digugurkan Tentera Udara Diraja Britain dikeluarkan. - Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com