BNM Sangkal Laporan Rakyat Malaysia Miskin


KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) menyangkal dakwaan yang menyebut analisis BNM berhubung gaji kehidupan wajar mengatakan rakyat Malaysia miskin.

BNM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, gaji kehidupan wajar adalah penanda aras bagi pendapatan diperlukan untuk menikmati taraf hidup minimum yang boleh diterima.

“Ia bukanlah penanda rasa untuk menilai tahap kemiskinan. Di samping memenuhi keperluan asas, gaji kehidupan wajar juga membolehkan rakyat Malaysia berinteraksi dalam masyarakat secara bermakna, memberi peluang untuk membangunkan diri dan keluarga serta bebas daripada tekanan kewangan yang teruk.

“Konsep itu perlu difahami dengan mendalam supaya apa-apa komen yang berkaitan tidak tersasar dan menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Menurut BNM, gaji kehidupan wajar berperanan sebagai panduan kepada majikan untuk mempertimbangkan agar pekerja dibayar gaji mengikut keperluan taraf hidup minimum yang boleh diterima.

“Gaji kehidupan wajar tidak menggantikan gaji minimum semasa yang masih relevan iaitu sebanyak RM920-RM1,000. Gaji minimum adalah satu keperluan berkanun dan bertujuan menampung keperluan asas isi rumah,” kata BNM.

Kenyataan itu turut menegaskan keupayaan membayar gaji kehidupan wajar perlu dinilai dengan mengambil kira produktiviti pekerja, untuk mengelakkan peningkatan kos yang tidak sepatutnya yang mungkin mendorong kepada kenaikan inflasi.

Pada 4 April lalu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menggesa kerajaan mempertimbangkan cadangan BNM supaya gaji cukup hidup (living wage) dilaksanakan segera.

Beliau mendakwa, saranan BNM itu menunjukkan kos sara berada pada tahap yang tidak memuaskan.

“Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran BNM 2017 dan Laporan Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) menunjukkan rakyat Malaysia ‘miskin’, dakwa Charles.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com