BN Pantau Unsur Sabotaj, Onar - Tengku Adnan


PUTRAJAYA - Barisan Nasional (BN) sedang memantau setiap kawasan pilihan raya bagi mengesan unsur sabotaj terhadap parti dan calon yang dipilih untuk bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata beliau mempunyai naziran di seluruh negara bagi mengesan pihak yang cuba membuat onar dan akan mengambil tindakan terhadap mereka.

"Jangan ikut hati sangat. Saya tahu kerana kita memantau dan pasti akan mengambil tindakan seperti yang berlaku di Wangsa Maju.

"Kita sedang meneliti dan barangkali Badan Perhubungan (UMNO) Negeri akan mengambil alih segala tugasan di Wangsa Maju kerana kita dengar desas-desus ada unsur nak sabotaj parti dan calon BN yang bertanding iaitu MCA," katanya.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Kad PutraPay kepada pelajar sekolah, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas Putrajaya di sini, semalam.

Tengku Adnan berkata, beliau turut mengadakan perbincangan dengan MCA selepas mendengar desas-desus ada cubaan mensabotaj calon UMNO di Parlimen Bandar Tun Razak dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Saya sudah tulis surat kepada komponen BN tiga minggu lalu kerana kita tidak mahu ada orang sabotaj calon dalam kalangan parti komponen dan jika mereka tidak ikut arahan, saya akan ambil tindakan," katanya.

Selain itu, Tengku Adnan mengingatkan semua ahli BN termasuk UMNO supaya berpegang kepada prinsip walak serta tabayyun kepada keputusan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, dan mana-mana ahli yang didapati tidak patuh termasuk bertanding calon bebas akan digugurkan keahlian secara automatik daripada UMNO.

"Bagi Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, kita baru dengar (beliau mahu bertanding bebas) tetapi kalau beliau bertanding, beliau akan digugur dan dipecat daripada keahlian UMNO secara automatik," katanya mengulas desas-desus Mohd Puad dikatakan ingin bertanding atas tiket bebas selepas tidak dicalonkan.

Ditanya sama ada calon BN yang diumumkan akan ditukar pada saat akhir, Tengku Adnan berkata, perkara itu tidak akan berlaku kerana semua calon sudah diberikan watikah untuk bertanding.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, seramai 9,000 pelajar sekolah, OKU dan warga emas di Putrajaya akan diberikan kad PutraPay secara berperingkat, yang membolehkan golongan itu menggunakan perkhidmatan bas NadiPutra secara percuma selama setahun.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com