BN Pahang Bariskan Muka-Muka Lama Pertahan Kubu Kuat


BENTONG - Barisan Nasional (BN) Pahang dijangka mengekalkan barisan calon boleh menang yang pernah bertanding pada pilihan raya umum lalu sebagai strategi mengekalkan kuasa menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Malah, BN Pahang hanya akan menawarkan tiga muka baharu sebagai calon bagi menggantikan wakil rakyat yang menarik diri atau yang telah meninggal dunia di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Tiga kerusi tersebut dipercayai kerusi DUN Pulau Tawar, DUN Lepar dan kerusi Parlimen Paya Besar.

Pengerusi Badan Perhubungan BN Negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata beliau difahamkan bahawa senarai calon peringkat Parlimen telah pun dikemas kini dan calon-calon yang bakal menyandang kerusi tersebut telah pun diberikan surat.

Manakala, menurut beliau, calon peringkat DUN pula akan diserahkan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 April, hari ini.

“Saya akan mengumumkan senarai calon BN Pahang pada hari Isnin atau Selasa selepas pelancaran Manifesto BN Pahang. Setakat ini hanya ada satu atau dua kerusi yang masih belum dikemas kini.

“Kita tidak akan menampilkan banyak wajah-wajah baharu kerana orang lama masih lagi diterima di Pahang termasuk saya,” katanya.

Adnan yang juga Menteri Besar Pahang itu ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jom Ride Bersama Tok Nan di Dataran Pelangai pada Sabtu.

Beliau turut mengulas lanjut mengenai kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai dan mengesahkan beliau akan bertanding dan mempertahankan kerusi yang telah disandangnya sejak 1986.

"Saya akan teruskan (bertanding) dan kita juga ada cadangkan calon baharu kepada Datuk Seri Najib untuk kerusi Parlimen Paya Besar dan kerusi DUN Lepar.

"Kedua-dua kerusi itu kosong selepas penyandangnya, arwah Datuk Seri Abdul Manan Ismail meninggal dunia 12 Februari lalu dan Datuk Mohd Shohaimi Jusoh (meninggal dunia) pada 31 Disember lalu.

"Seorang ADUN kita juga ada menyatakan kesediaan untuk berundur dan kita juga sudah berikan cadangan nama calon bagi menggantikan beliau," tambahnya.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com