BN Harumkan Nama Negara Di Mata Dunia - NGO


KUALA LUMPUR - Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu terus diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi memastikan pelbagai transformasi yang sedang dilaksanakan dapat dikekal dan mengukuhkan kedudukan negara memperjuangkan isu antarabangsa khususnya berkaitan kepentingan umat Islam.

Perkara itu disuarakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Majlis Belia Malaysia (MBM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparudin Yusup berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjaya melaksanakan Program Transformasi Nasional (NTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) berdasarkan model pembangunan inklusif dan berdaya tahan yang berupaya meyakinkan pelabur asing dan agensi penarafan antarabangsa.

Katanya, lebih membanggakan apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menerusi laporannya meletakkan Malaysia berada pada landasan tepat untuk mencapai status negara maju yang dengan sendirinya turut membuktikan negara Islam setanding negara lain.

Ahmad Saparudin berkata, ketika beliau mengikuti konvensyen belia antarabangsa di Istanbul pada 2016, perwakilan dari luar negara menyuarakan kekaguman mereka kepada Perdana Menteri kerana melakukan transformasi luar biasa untuk memajukan negara dan menjaga kepentingan rakyat.

"Faktor ini membantu meletakkan Putrajaya sebagai 'Youth Capital' Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), tanda pengiktirafan pertubuhan itu terhadap peranan Malaysia memajukan komuniti belia tanpa mengira kaum dan agama dan sumbangan kepada dunia Islam.

"Seperti kita sedia maklum Malaysia sentiasa prihatin terhadap konflik yang melanda umat Islam di Syria, Palestin dan etnik Rohingya di Myanmar sehingga negara luar khususnya dalam kalangan anggota OIC amat mengagumi sumbangan negara kita," katanya kelmarin.

Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa, berkata BN memiliki sejarah, rekod dan prestasi cemerlang yang terbukti berjaya meletakkan negara kita maju dalam semua aspek meliputi ekonomi, keselamatan, politik, agama, pendidikan, budaya dan sosial, yang sekali gus membawa kepada limpahan kemakmuran serta kesejahteraan hidup rakyat.

Katanya, BN bukan hanya untuk orang Melayu, tetapi untuk semua kaum iaitu Cina, India, Orang Asli serta Bumiputera Islam dan bukan Islam di Sabah dan Sarawak berikutan usaha parti komponennya mempromosikan keharmonian dalam kepelbagaian dan tadbir urus yang sangat baik dari segi mobiliti sosial.

Beliau berkata, semua kaum di negara ini dibantu tanpa mengira kepercayaan politik yang diyakini menjadi faktor rakyat terus memberi mandat kepada BN untuk mengekalkan tampuk pemerintahan negara dalam PRU-14.

"Kerajaan BN sentiasa memayungi rakyat dan perlu terus diberi kepercayaan mentadbir negara kerana terbukti berjaya membawa kemakmuran kepada rakyat, mengekalkan kestabilan politik, mengukuhkan ekonomi dan menjadikan negara dikagumi di peringkat antarabangsa.

"Malaysia melakar sejarah di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila inisiatif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) membawa resolusi menangkis penyebaran fahaman ekstremisme dan radikal diterima pada sesi Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-72 di New York, Disember lalu," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yakin negara terus dikagumi di peringkat antarabangsa khususnya isu kepentingan umat Islam sekiranya kerajaan BN terus diberi mandat dalam PRU-14.

Katanya, sebagai contoh ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memutuskan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang mengecam keputusan Trump dengan mengatakan ia melepasi `red line' atau batasan bagi umat Islam, menghubungi Najib untuk membincangkan penolakan terhadap pengiktirafan berkenaan.

"Ini jelas membuktikan betapa pentingnya negara kita bukan saja dalam Isu Baitulmaqdis, malah penindasan etnik Rohingya. PPIM juga percaya dasar keprihatinan terhadap rakyat akan terus diperjuangkan," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com