Biro Penerangan BN Kedah Kata Negara Tak Akan Bankrap


ALOR SETAR - Tuduhan liar dari pembangkang kononnya negara akan bankrap setelah Barisan Nasional (BN) melaksanakan manifesto yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini adalah tidak masuk akal.

Pengerusi Biro Penerangan BN Kedah, Datuk Othman Abdul berkata, hal ini ekoran semua bajet yang dibentangkan dalam manifesto BN adalah terlebih dahulu merujuk kepada beberapa agensi seperti Bank Negara, Unit Perancang Ekonomi dan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) .

Lantas membuktikan kesemua keputusan yang dilakukan bukan hanya dari arahan suka-suka Perdana Menteri tetapi dibuat secara profesional oleh pihak berkenaan supaya selaras dengan pendapatan negara hari ini.

“Perkiraan dana dan pendapatan kerajaan perlu diambil kira terlebih dahulu untuk belanjawan manifesto nanti. BN tidak pernah membentangkan manifesto yang boleh menjejaskan pendapatan negara.

“Perdana Menteri lebih mengetahui kesan dari belanjawan yang melebihi hingga boleh menjejaskan ekonomi. Oleh itu dakwaan negara akan bankrap oleh pembangkang kerana manifesto BN adalah berniat jahat,” katanya memetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Ceramah Rakyat BN Menolak Pakatan Hipokrasi di Taman Derga Jaya, Derga di Alor Setar, kelmarin.

Selain itu, beliau turut berkongsi cerita tentang rakyat yang menukar kepimpinan secara revolusi di negara luar tetapi akhirnya banyak memberi kesan kepada mereka sendiri, malah terpaksa berhijrah ke negara lain.

Lantas rakyat perlu buka mata dan mengambil iktibar dari peristiwa saudara seagama kita seperti di luar negara yang selepas berlakunya perubahan kepimpinan negara itu akhirnya hancur segalanya.

“Hari ini kita boleh lihat ekonomi dan politik di negara seperti Mesir, Libya dan Iraq semua aktivitinya lumpuh kerana kegagalan pemerintahan sekarang dalam mentadbir urus negara.

“Oleh itu saya berharap rakyat hari ini terutamanya pengundi akan menolak pembangkang pada PRU14 nanti. Rakyat hari ini perlu memikirkan masa depan negara bagi mencapai ke arah negara maju,” katanya.

Sementara itu, Othman turut menjelaskan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan oleh kerajaan merupakan cukai terbaik di dunia pada hari ini.

Lihat sahaja dunia sekarang ini semakin banyak negara maju menggunakan GST dalam membawa negara mereka ke arah ekonomi yang cemerlang.

“Ini terbukti Kanada, Australia serta Arab Saudi turut melaksanakan GST untuk memajukan negara mereka,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com