Bintang ‘Jai Ho’ Teruja Nyanyi Lagu Bahasa Melayu


KUALA LUMPUR – Penyanyi popular ‘Jai Ho’ dari filem Slumdog Millionaire, Tanvi Shah begitu teruja bukan sahaja berada di Malaysia tetapi juga sudah memasang impian untuk menyampaikan sebuah lagu dalam bahasa Melayu pada masa depan.

Tanvi yang pada asalnya berkunjung ke Malaysia kerana mahu bercuti sambil melakukan beberapa kerja amal gembira apabila didekati oleh artis tempatan yang mahu beliau menyanyi dalam bahasa Melayu jika berkesempatan.

Tanvi yang ketika ini sudah menyanyikan lagu dalam hampir 20 buah bahasa berlainan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mengaku menyukai Malaysia dan budaya serta bahasanya.

Lantas, beliau mahu mendedikasikan sesuatu yang berharga kepada peminatnya di negara ini.

“Saya menggilai muzik, saya teruja dengan muzik dan bahasa tidak pernah menjadi halangan dalam dunia ini sebaliknya saya cukup bangga apabila boleh menyanyi atau menyampaikan lagu dalam bahasa ibunda orang lain.

“Setakat ini, saya mungkin telah menyanyikan lagu-lagu dalam hampir 20 buah bahasa berlainan, persamaannya hanya satu. Muzik menyatukan kita. Itu yang menjadikan saya begitu gembira dan teruja.

“Apabila dipelawa untuk menyanyi dalam bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara ini, tentu saya tidak akan sesekali menolak. Ketika ini, cakap-cakap serta sedikit perancangan sedang di lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di temui oleh MalaysiaGazette di Hartamas hari ini sebelum beliau berlepas kembali ke Mumbai, India tengahari ini dan mungkin ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) selepas itu.

Tanvi yang dikenali sebagai ‘Wanita India Pertama’ yang memenangi Anugerah Grammy untuk ‘Best Song Written for Motion Picture or Other Visual Media’ untuk lagi ‘Jai Ho’ daripada filem ‘Slumdog Millionaire’, juga membayangkan dia akan kembali ke Malaysia tidak lama lagi untuk bekerjasama dengan artis tempatan.

“Sebenarnya saya tidak sabar, mungkin bulan Mei depan. Kita tunggu dan lihat. Saya positif tentang perkara ini. Projek seperti ini bukan sahaja selalunya memberi kepuasan kepada saya, ia juga memberikan peluang kepada saya untuk juga melakukan kerja-kerja amal,” ujarnya.

Menyentuh tentang pengalaman bekerjasama dengan maestro muzik tersohor dunia AR Rahman, Tanvi berkata, menjadi impian mana-mana penyanyi mahu digandingkan dengan beliau.

“Bayangkan, saya tidak terfikir langsung akan bekerjasama dengan pemuzik tersohor dunia seperti AR Rahman. Tetapi, kehidupan saya ‘bertukar’ dalam tempoh lima minit sahaja.

“Saya sering menganggap diri saya sebagai seorang penyanyi ‘dalam tandas’ atau sesi karaoke. Mana sangka, salah seorang daripada kawan saya telah menghantar demo suara kepada beliau. Seterusnya, semuanya adalah sejarah manis buat diri saya sejak 2003.

“Kini saya berada sebaris dengan bintang dunia lain kerana sentuhan AR Rahman dan saya tidak akan sesekali berhenti bersyukur untuk keajaiban ini. Saya belajar banyak perkara tentang muzik bersama beliau,” kata Tanvi.

Penyanyi lagu ‘Fanaa’ untuk filem Bollywood ‘Yuva’ itu juga berkata, memenangi Anugerah Grammy pada 2010 ibarat mimpi buatnya.

“Semua orang mahu mendapat peluang seperti ini, semua penyanyi serta artis seperti saya mahu berada di tempat ini, saya sehingga kini masih lagi tidak boleh percaya tentang pengalaman ini,” jelasnya.

Tanvi pernah menerima anugerah ‘First Ladies’, sebuah acara yang diterajui oleh Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak India Maneka Ghandi berkata, dia mempunyai sebuah kumpulan bernama ‘Tansha’.

Selain muzik, Tanvi juga terlibat secara aktif dalam kerja-kerja di Institut Kanser dan membantu kempen ‘End Polio’ oleh Rotary International.

Malah, beliau telah menyumbangkan lagunya ‘Zindagi’ yang dihasilkan oleh JHawk, untuk album kempen End Polio itu yang menampilkan artis-artis antarabangsa seperti Itzhak Perlman, David Sanborn dan Ziggy Marley.

Dalam pada itu, Tanvi menasihatkan golongan muda terutamanya wanita untuk sentiasa mara ke hadapan dan yakin dengan kebolehan diri sendiri serta tidak sesekali berputus asa.

“Bukan senang untuk berjaya dalam kehidupan kita apatah lagi jika mahu mengapai impian yang selama ini tersemat dalam sanubari kita.

“Tetapi seandainya anda sangat yakin dengan diri sendiri, anda rajin, anda bertekad dan fokus pada komitmen itu, anda akan berjaya. Itu juga adalah rahsia kejayaan saya selama ini. Percayalah, bukan senang tetapi pada masa yang sama, ianya bukan mustahil,” tegasnya. 

Sumber– MalaysiaGazette

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com