Bilik Selerak Ingatkan Kucing Bergaduh, Rupa-Rupanya Ular Tedung Selar Tengah...


ALOR SETAR - Seorang lelaki terkejut melihat keadaan bilik tidurnya yang berselerak dan menyangka ianya angkara kucing yang bergaduh, namun sebaliknya yang berlaku ini amat mengejutkan.

Saiful Zaini Mohd Mahyadin,42, dari Kampung Kuala Janing, Mukim Tualak, di Kuala Nerang menceritakan kejadian mengejutkan itu.

“Pada awalnya adik saya menyangka kucing yang bergaduh tetapi rupanya ia angkara ular tedung selar yang mahu membaham biawak," katanya.

Apa yang difahamkan, ketika kejadian dia sedang mengemas biliknya dan tiba-tiba dia ternampak seekor ular tedung selar sedang menjalar di besi tingkap dalam biliknya. 

Akibat terkejut melihat haiwan reptilia itu, dia terus berlari ke luar untuk meminta bantuan dari ahli keluarganya.

“Bimbang dengan keselamatan lalu saya terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) supaya menangkap ular itu. Ular itu sangat besar dan kami sekeluarga tidak mampu untuk menangkapnya,” katanya.

Tambah Saiful Zaini, selepas penemuan tidak diduga itu barulah dia tersedar bahawa bunyi bising di rumahnya pada jam 6 petang kelmarin adalah angkara ular tedung selar  itu dengan seekor biawak.

“Selepas ular itu berjaya ditangkap oleh APM, saya mengemas kembali bilik dan temui biawak mati yang berdarah di kepala.

"Saya yakin ular itu cuba membaham biawak itu dan sebab itu terdapat bunyi bising di dalam bilik seperti yang didakwa oleh adik saya pada petang itu. Bagaimanapun nasib baiklah saya sempat menyedari dengan kewujudan ular itu semasa pulang dari berniaga,” katanya.

Susulan kejadian itu, dia kini merasa ketakutan dan sedikit trauma setiap kali tidur di dalam biliknya kerana mengenangkan kedatangan reptilia itu.

Sementara itu, Pegawai APM Padang Terap, Leftenan (PA) Roshidi Kassim berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima panggilan pada jam 10.42 kelmarin.

Ketua operasi itu, Mohd Khairi Che Kamil dikerah ke lokasi dengan empat anggota APM yang mengambil masa selama 20 minit untuk menangkapnya.

“Anggota kami terpaksa mengambil masa untuk menangkap ular tedung selar sepanjang empat meter itu kerana bersembunyi atas siling rumah itu," katanya memetik Sinar Harian. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com