Bertemu Terengganu, Ifwat Gusar Bisa Lee Tuck



KUALA LUMPUR - Ketika ketiadaan Kipre Tchetche dalam skuad Terengganu FC (TFC) dilihat sedikit melegakan Kedah, kelibat Lee Tuck tetap mencetuskan kebimbangan kepada penjaga gol, Ifwat Akmal Che Kassim apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi Liga Super, malam ini.

Ifwat percaya Kedah tetap berdepan tugas sukar dengan Tuck akan menjadi ancaman utama yang mampu memusnahkan impian mereka membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Kuala Terengganu.

"Ketiadaan Tchetche tidak menjadi masalah besar kepada Terengganu kerana mereka memiliki skuad mantap apatah lagi boleh menggunakan pemain daripada skuad simpanan bila berlaku kecederaan.

"Saya tetap bimbangkan Lee Tuck kerana dialah sebenarnya senjata utama Terengganu. Selain rajin, dia bijak merancang serta mencipta peluang untuk rakan sepasukannya menjaringkan gol.

"Tuck juga mampu melakukan jaringan dari jarak jauh jika diberi ruang. Saya berharap rakan sepasukan sentiasa mengawasi pergerakannya, kalau boleh jangan beri walaupun sedikit peluang kepadanya," katanya.

Ifwat menaruh harapan Lang Merah mampu mengekalkan momentum kemenangan selepas membenam Selangor 4-0 di gelanggang sendiri pada 13 April lalu.

"Kalau tak menang, dapat bawa balik satu mata pun sudah bagus kerana Terengganu juga sedang berada pada momentum terbaik sekarang," ujar Ifwat.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com