Berita Gembira Buat Warga PSK, PDK Di Seluruh Kedah - Suraya


ALOR SETAR - Biarpun kini sedang hangat diperkatakan tentang "demam pilihan raya" di segenap pelusuk negara, namun bagi Datuk Suraya Yaacob, tugas dan amanah yang digalas akan tetap dilunas dengan rasa tanggungjawab hingga ke detik terakhir.

Exco Kerajaan Negeri itu berkata, beliau bersyukur kerana diberi peluang untuk terus memberi penghargaan kepada warga pusat Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) dan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang banyak menabur budi di seluruh negeri Kedah.

"Alhamdulillah, dalam tempoh terakhir ini pun kita masih usaha berikan khidmat dan kebajikan kepada rakyat. Kali ini kepada kita berikan penghargaan kita kepada 'the unsung heroes'.

"Sebagaimana yang diumumkan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah tadi, ia akan memberi manfaat kepada 42 buah PDK, 332 orang petugas PDK dan PSK, dan termasuk 1698 pelatih PDK di seluruh negeri Kedah," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, setiap PDK di negeri ini akan menerima bayaran insentif sebanyak RM500, manakala seramai 322 orang petugas PDK dan PSK bakal menerima sebanyak RM300 setiap orang.

Sementara itu, seramai 1,698 orang pelatih PDK yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU) di seluruh negeri ini juga bakal menerima bayaran insentif bernilai RM100 setiap orang.

Menurut Suraya yang mesra disapa sebagai "Kak Su", pembayaran insentif secara "one-off" itu akan dibuat pada bulan ini dan akan diselaras oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh terdekat.

"Sebenarnya, PSK dan PDK di negeri kita dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. Sebanyak RM6 juta diperuntukkan setiap tahun bagi tujuan murni membela nasib golongan anak-anak istimewa ini.

"Jadi, atas keprihatinan kerajaan negeri, kita berikan sedikit penghargaan untuk wira-wira tidak didendang ini. Pada masa yang sama, kita bantu juga anak-anak istimewa, alhamdulillah..," katanya gembira.

Ahmad Bashah semalam mengumumkan insentif khas kerajaan negeri melibatkan peruntukan lebih RM290,000 untuk pembayaran sumbangan secara 'one-off' kepada pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), petugas dan pelatih di Kedah.

Berita gembira itu diumumkan dalam satu sidang media sejurus beliau mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini.

Turut hadir bersama adalah barisan Exco Kerajaan Negeri, Dato' Dr Ku Rahman Ku Ismail, Datuk Suraya Yaacob, Dato' Tajudin Abdullah, Dato' Badrul Hisham Hashim, Dato' Amiruddin Omar dan Dato' Norsabrina Mohd Noor. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com