Benarkan Gelang Ini Mampu Jadi Pelindung Diri Elak Serangan Seksual?


WANITA sememangnya terdedah dengan ancaman serangan seksual seperti rogol dan pencabulan, oleh itu tidak hairanlah jika ramai yang takut untuk ke luar seorang diri terutamanya pada waktu malam.

Berikutan itu, sebagai usaha mencegah jenayah tersebut dari terus berlaku seorang penuntut Universiti Alabama, Amerika Syarikat berjaya menghasilkan gelang tangan pintar untuk keselamatan kaum wanita, lapor Daily Mail.

Jayun Patel berkata, gelang yang dihasilkan itu dilengkapi dengan alat yang memantau sebarang pergerakan dan mengesan perubahan pada tubuh pemakainya sebelum menghantar isyarat bahaya.

Isyarat itu akan terus memberi amaran kepada polis atau mana-mana pihak yang berada dalam senarai nama pemakai sebaik sahaja mengesan bahawa individu itu diganggu.

Gelang canggih itu akan menghubungkannya kepada telefon pintar melalui bluetooth dan segera menghantar mesej kepada pihak kecemasan termasuk maklumat tentang lokasi pemakai.


Selain itu,silauan cahaya merah dan bunyi penggera yang kuat turut dipasang bagi menarik perhatian orang ramai yang berada berhampiran dan menakutkan penyerang melalui gelang tersebut.

Profesor Madya, Dr. Ragib Hasan yang juga terlibat dalam menghasilkan alatan canggih itu memberitahu, gelang tersebut dapat melindungi pemakainya daripada serangan seksual yang sering berlaku di kampus kolej seperti di universiti berkenaan.

Gelang itu juga boleh mengesan sama ada pemakainya sedang dalam posisi berdiri atau baring dengan dilengkapi teknologi Adafruit Circuit Playground, pengesan tekanan, Sistem Kedudukan Global (GPS) dan mikrofon.

“Cabaran besar untuk me­nghalang serangan ialah mangsa lazimnya sukar untuk melepaskan diri bagi mendapatkan bantuan.

“Sangat sukar bagi individu yang sedang bergelut dengan penjenayah, mencari ruang menekan butang telefon untuk meminta bantuan,” katanya.

Gelang berkenaan kini masih lagi dalam bentuk prototaip dan dijangka dijual pada harga kurang daripada AS$40 (RM155).

Patel berkata beliau mahu memperluaskan teknologi dan mencipta barangan pintar yang lain, seperti kasut dan anting-anting, yang berfungsi untuk menjaga keselamatan orang ramai. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com