Benarkah Syaitan Masuk Rumah Waktu Maghrib?


APAKAH benar syaitan akan masuk ke rumah yang terbuka ketika waktu Maghrib?

 Jawapan:

Berdasarkan soalan di atas, sememangnya kita tidak digalakkan untuk berada di luar rumah pada waktu senja disebabkan pada waktu ini syaitan sedang berkeliaran. Maka, di sini kami nukilkan sebuah hadith sahih yang menunjukkan petunjuk atau panduan daripada Nabi SAW kepada kita apabila tibanya waktu senja.

 Daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.” [Riwayat al-Bukhari (3304) dan Muslim (2012)]

Perkara seperti ini, banyak dinyatakan oleh para ulama’ ketika mereka mensyarahkan atau memahami hadith ini. Antaranya ialah, Imam Ibn Abd al-Bar (463 H) berkata bahawa hadith ini menunjukkan perintah (arahan) menutup pintu-pintu pada malam hari (apabila tibanya senja). Itu adalah sunnah yang diperintah akannya sebagai tanda kasih kepada manusia daripada (terkena kecelakaan atau keburukan) syaitan manusia dan jin. [Lihat: al-Istizkar, 363/8]

Selain itu juga, Imam al-Nawawi (676 H) berkata bahawa hadith ini mempunyai banyak faedah berkaitan kebaikan dan adab yang melibatkan maslahah akhirat dan dunia. Maka, Nabi SAW mengajar adab-adab ini yang merupakan sebab terselamatnya daripada kecelakaan syaitan dan Allah SWT menjadikan sebab-sebab ini agar menjadi penyebab terselamatnya kita daripada kecelakaan atau keburukan syaitan ini.

 Hal ini juga disebut oleh Imam Khatib al-Syarbini (977 H) bahawa sunat menutup pintu ketika masuknya senja. [Lihat: Mughni al-Muhtaj, 139/1] Antara hikmah mengapa dilarang melepaskan budak-budak pada waktu senja adalah disebabkan syaitan berkeliaran pada waktu itu dan pergerakan syaitan lebih aktif berbanding siang hari kerana kegelapan itu akan menambahkankan kekuatan syaitan berbanding waktu yang lain sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852 H). [Lihat: Fath al-Bari, 31/6]

Kesimpulannya, melihat kepada beberapa pandangan para ulama’ di atas, maka kami simpulkan bahawa kita dituntut atau disunatkan untuk menutup pintu atau tingkap apabila tibanya waktu senja dan perkara ini juga selalu dipesan atau diingatkan oleh orang-orang tua. Ini kerana, syaitan-syaitan berkeliaran pada waktu tersebut serta dibimbangi akan terkena keburukan, kecelakaan atau kejahatan berpunca daripada syaitan tersebut kerana syaitan ini sifatnya adalah menyakiti manusia.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com