Bekas KP Jasa Sah Tidak Bertanding Calon Bebas


SETIA… Desas-desus yang dakwa konon bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi bakal bertanding sebagai calon bebas akhirnya terbukti salah!

Menurut laporan media tempatan, Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat di Johor itu sah tidak bertanding sebagai calon tanpa parti bagi merebut kerusi Parlimen Batu Pahat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Mohd. Puad yang pernah menjadi Ahli Parlimen kerusi itu sebelum kecundang pada PRU ke-13 lepas dikatakan kemungkinan bertanding sebagai calon bebas ekoran tidak berpuas hati selepas namanya digugurkan parti.

Namun sehingga waktu penamaan calon ditutup secara rasmi tepat jam 10 pagi, beliau dilaporkan masih tidak muncul di pusat penamaan calon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terletak di dewan Pejabat Daerah Batu Pahat.

Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya P150 Batu Pahat, Mohd. Haffiz Ahmad kemudian membuat pengumuman tempoh penamaan tamat selepas pukul 10 pagi sekali gus menyaksikan jiwa Mohd. Puad tetap setia kepada parti.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen itu ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Pahat, Haliza Abdullah dan dikatakan berpeluang cerah untuk merampas kembali kawasan itu.

Sumber – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com