Bekas Imam Universiti Al-Azhar Berhijrah Ke Kuala Ketil Kata Malaysia Negara Selamat


KUALA KETIL - Tinggalkan isteri dan empat anak di bumi Mesir dan berhijrah ke Kuala Ketil demi bahagiakan mereka.

Itulah pengorbanan sanggup dilakukan seorang bekas Imam Masjid Universiti Al-Azhar Mesir selepas memilih negara ini untuk mencari nafkah.

Syeikh Rabiea Mohammed Hefny,40, berkata, beliau menerima jemputan untuk mengajar di Maahad Tahfiz Al Naim Kuala Ketil daripada kenalannya.

Menurutnya, pelawaan itu diterima dengan hati terbuka selepas berbincang dengan keluarga.

“Pelawaan itu datang daripada seorang kawan saya dari Mesir yang berada di Kuala Ketil. Beliau adalah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ( UniSHAMS).

“Selepas berbincang dan mendapat restu isteri dan keluarga, saya bersetuju untuk datang ke sini,” katanya.

Menurutnya, beliau tiba di negara ini sejak Julai tahun lalu. Katanya, Maahad Tahfiz Al Naim Kuala Ketil ialah destinasi pertamanya sebagai guru Bahasa Arab.

“Saya tahu orang Kedah sukakan Islam dan suka Bahasa Arab. Bila datang ke sini, ramai yang boleh bercakap dengan baik dalam Bahasa Arab.

“Maahad Tahfiz Al Naim ialah sekolah pertama saya mengajar, pelajar dan guru-guru nya cukup baik. Suasana di Kuala Ketil cukup Islamik,” katanya.

Katanya, selama di sini, beliau banyak dibantu masyarakat tempatan.

“Pengasas Tahfiz Al Naim, Hj Talib Yaacob, Imam Masjid Madinatul Ilmi Kuala Ketil, guru-guru agama dan masyarakat tempatan begitu ambil berat terhadap saya.

“Alhamdulillah, saya dapat hadapi kehidupan di sini dengan bantuan mereka selain sokongan keluarga daripada jauh,” katanya.


Rabiea berkata, selepas empat bulan di Tahfiz Al Naim, beliau menerima pelawaan untuk mengajar di Maahad Al Iman Li Ulumil Quran, Kampung Pantai.

“Saya diminta mengajar di sini kerana pelajar lebih ramai. Di sini, semua murid wajib bertutur Bahasa Arab. Jumlah keseluruhannya ialah 170 orang.

“Pelajar sekolah rendah berumur enam hingga 12 tahun manakala peringkat sekolah menengah umur mereka ialah 13 dan 14 tahun,” katanya.

Bagaimanapun, Rabiea berkata, jumlah pemuda negara ini yang jarang ke masjid menyedihkannya.

“Saya hairan apabila lihat jumlah pemuda Malaysia di masjid, ke mana mereka? Paling ramai di masjid hanyalah orang tua.

“Jumlah pemuda di sini lebih ramai di tempat lain berbanding di masjid. Saya tak tahu ke mana pemuda Malaysia pergi setiap kali waktu solat,” katanya.

Katanya lagi, sikap ramai pelajar Malaysia seawal 11 dan 13 tahun yang mula berjinak-jinak dengan rokok turut mengejutkannya.

“Ramai pelajar yang masih muda sudah menghisap rokok. Di Mesir juga ada pelajar muda yang menghisap rokok tetapi jumlahnya masih dapat dikawal,” katanya.

Rabiea berkata, berada di Malaysia membuatkan beliau lebih selamat berbanding di negara asal.

Katanya, polisi pemimpin negara mempunyai hubungan rapat dengan Israel dan Amerika Syarikat membuatkan ramai ilmuwan agama ditahan di bunuh.

“Sembilan kawan saya dibunuh dalam di medan Rabiah Al Adawiyah pada Ogos 2013. Mereka ditembak polis dan tentera kerajaan.

“Seorang lagi dibunuh di medan Tahrir sebelum peristiwa Rabiah. Ketika itu Mesir mula bergolak,” katanya.

Katanya, selama berjauhan, beliau hanya menghubungi isteri dan anak-anak melalui sistem pesanan WhatsApp.

“Ayah saya sudah meninggal, kini yang tinggal tiga abang, seorang kakak dan seorang ibu.

“Saya ada empat anak berumur empat hingga 10 tahun. Dua lelaki dan dua perempuan. Setiap hari hati ini merindui mereka. Insya-ALLAH, isteri dan anak-anak akan datang ke sini pada bulan Mei depan,” katanya.

Sementara itu pelajar, Saiful Mohd Syafik, 13, berkata, Syeikh Rabiea seorang guru yang sangat disukai semua pelajar.

“Kami mudah faham apa diajar syeikh, dia sangat baik dengan murid-murid,” katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com