Bekas Gitaris Ekamatra Didakwa Sebabkan Kematian, Pecah Rumah Warga Emas


ALOR SETAR - Bekas gitaris kumpulan Ekamatraera yang terkenal pada zaman 90-an berdepan dua pertuduhan berasingan di Mahkamah Sesyen dan Majistret di Alor Setar, semalam kerana melakukan kegiatan pecah rumah dan menyebabkan kematian seorang warga emas .

Tertuduh, Nurulazman Saliholdin @ Salihaldin, 44 mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyebabkan kematian seorang nenek, Kau Fu Eng, 71 Di Mahkamah Sesyen 4.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumah beralamat No.217, Taman Malaysia dekat Alor Setar antara pukul 2 petang hingga 6 petang, 25 Februari lalu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan di hadapan Hakim, Najwa Che Mat.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 23 Mei depan untuk tertuduh dijatuhkan hukuman.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan didenda.

Difahamkan suspek sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara dan sebatan kerana merompak seorang wanita warganegara Indonesia pada 2012, .

Sementara itu di Mahkamah Majistret 2, Nurulazman mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memecah rumah milik seorang warga emas, Nimal De Silva, 70, yang beralamat di No. 2630, Taman Lumba Kuda, Jalan Tun Syed Sheh Shahabuddin 8, dekat sini.

Suspek berasal dari Batu Pahat, Johor didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Disember 2016, antara pukul 9.30 pagi hingga pukul 10 pagi.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret, Arif Mohamad Sharif memetik sumber Utusan.

Selain itu, Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menanti penyerahan dokumen selain membolehkan tertuduh melantik peguam.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan didenda. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com