BDB Meterai MoU Dengan 9 Peniaga Utama Untuk Hab Komersial Axis


ALOR SETAR - BDB Land Sdn. Bhd. adalah anak syarikat milik penuh BDB Darulaman Bhd (BDB) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sembilan peniaga utama untuk pembangunan Hab Komersial Axis di pembangunan bandar Darulaman, Jitra, Kedah.

BDB dalam kenyataannya berkata, bilangan peruncit boleh meningkat sehingga 25 peniaga dengan gabungan gaya hidup, makanan dan minuman dan outlet pendidikan ketika dalam tempoh pembangunannya.

Jelas BDBD, Hab Komersial Axis akan memulakan pembinaan pada bulan ini dan dijangka siap menjelang akhir 2019.

“Perniagaan di rumah kedai akan dibuka seawal suku pertama 2020. Sementara itu, Pusat Runcit Kejiranan Axis dalam pembangunan ini akan menjadi pusat pembangunan pendidikan pertama di Kedah yang menawarkan lebih 41,000 kaki persegi ruang sewa.

“Pusat yang mempunyai reka bentuk kontemporari itu akan dibina dengan kos hampir RM5 juta dan bermatlamat untuk menjadi destinasi makanan menarik di Kedah selain perkhidmatan yang penting seperti kedai dobi, farmasi dan klinik,” katanya memetik Bernama.

Sejak syarikat itu memasuki pasaran hartanah pada 1983, BDB Land banyak membangunkan projek perumahan di Kedah seperti Pangsapuri Indera, Rumah Bandar Adra, Kondominium Aurora, Panorama Darulaman, Simfoni West dan Simfoni East.

Difahamkan, BDB juga adalah syarikat tersenarai milik Kerajaan Negeri Kedah, ditubuhkan pada 7 Februari 1995 dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah merupakan pe­megang saham terbesar. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com