BBM Kedah Bantu Sekeluarga Dapatkan Bekalan Air Bersih


ALOR SETAR - Bridged Bakti Malaysia (BBM) Cawangan Kedah telah membantu sebuah keluarga di Kuala Ketil mendapatkan bekalan air bersih dari Syarikat Air Darul Aman (Sada).

Difahamkan, status tanah rizab sungai yang didiami keluarga tersebut berhampiran tanah Perkuburan Islam Masjid Madinatul Ilmi itu adalah sebab mereka tidak dapat menikmati bekalan air bersih selama ini.

Muhamad Sidek, 45, yang hanya mengambil upah bekerja kampung bagaimanapun lega apabila masih ada pihak prihatin dengan nasib mereka.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada BBM sebab selesaikan masalah kami. Kalau tak, mungkin selamanya isteri dan anak-anak tak merasai air bersih,” katanya yang tinggal di rumah disediakan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Sementara itu, Pengerusi BBM Cawangan Kedah, Md Tahir Saad berkata, masalah air itu diselesaikan selepas mengadakan perbincangan dengan Masjid Madinatul Ilmi Kuala Ketil dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Baling.

“Status tanah rizab sungai penghalang pemasangan meter.  Atas perbincangan, Sada dapat memenuhi keperluan keluarga asnaf ini untuk pemasangan meter pada 15 April lalu,” katanya memetik Sinar Online.

Terdahulu, BBM turut dibantu pelajar, Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Salimah Kedah, Pusat Tahfiz Al Naim, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Ketil dan Preloved Donation Center (PDC) Sungai Petani bergotong-royong membersihkan rumah keluarga berkenaan.

Tambahnya, BBM berharap masyarakat sekitar tampil membantu keluarga itu supaya kebajikan mereka tidak terabai.

“Anak sulung dan ketiga keluarga ini yang berumur enam dan lapan tahun bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kuala Ketil.

“Manakala anak kedua berusia sembilan tahun bersekolah di Sekolah Batu Pekaka dengan status pelajar OKU (Muhammad Iqbal penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan LZNK Baling). Anak bongsu juga OKU selepas alami demam ketika lapan bulan,” ujarnya.

Selama 16 tahun, keluarga Muhamad Sidek hanya menggunakan air telaga dan hujan untuk mandi dan mencuci pakaian manakala terpaksa peruntukkan RM2 sehari untuk membeli air tapisan bagi kegunaan mandi serta memasak.

Bagi orang ramai yang ingin membantu boleh hubungi Md Tahir di talian 016-2125574. - Kedahnews.com



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com