Bayi Hilang Satu Mata Akibat Serang Udara Dirawat


Ankara: Bayi lelaki yang hilang sebelah mata akibat serangan udara rejim Syria di Ghouta tahun lalu, tiba di Turki semalam, selepas penderitaannya mendapat liputan meluas media sosial, untuk rawatan.

Presiden Turki, Recep Erdogan, menyambut ketibaan Karim Abdallah yang kini berusia enam bulan bersama anggota keluarganya di wilayah sempadan Turki di Hatay.

Karim hilang sebelah mata dalam serangan udara Oktober tahun lalu, di kawasan dikawal pemberontak di Ghouta yang turut mengorbankan ibunya.

Sejak gambarnya dengan kecederaan mata tersebar, ramai pengguna media sosial merakam gambar mereka dengan menekup sebelah mata sebagai tanda sokongan kepada Karim dan menyiarkannnya di Twitter serta Facebook dengan hashtag #SolidarityWithKarim.

Malah, Duta Britain ke PBB, Matthew Rycroft turut menyiarkan gambarnya dengan gaya yang sama di Twitter ketika mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.

Kempen solidariti itu dilancarkan jurugambar bebas, Amer Almohibany, 28, orang pertama yang merakam gambar Karim.

Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Turki, Kerem Kinik, berkata kanak-kanak itu yang cedera ketika berusia lima minggu, menjadi simbol nasib yang menimpa kanak-kanak tidak berdosa di Syria.

“Alhamdulillah, bayi lelaki, Karim kini selamat. Ia mengingatkan kita bahawa kita perlu memiliki hati nurani sebagai manusia,” kata Kinik melalui Twitter.

Pakar bedah otak dikenali Dr Abu Jamil berkata, kerosakan di bahagian lobus frontal dan mata kiri kemungkinan menyebabkan penderitaan jangka panjang.

“Lobus frontal memainkan peranan penting dalam kefahaman, kepintaran dan ingatan manusia,” katanya.

Menurutnya, masalah itu boleh dirawat dengan terapi tingkah laku dan kognitif serta pembedahan kosmetik.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com