Bayi Gagal Fungsi Hati Berlepas Ke China


BATU PAHAT - Bayi yang mengalami kegagalan fungsi hati, Nur Sumayyah Mohd Hafiz, 10 bulan, bersama ibu dan bapanya akan berlepas ke Shanghai, China, malam tadi.

Setiba di sana, Nur Sumayyah akan menjalani pembedahan hati di Hospital Renji, dalam masa terdekat, selepas semua urusan berjalan lancar.

Ibu bayi berkenaan, Juliza Mohd Khalid, 33, berkata mereka akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) jam 11 malam tadi dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai, kira-kira jam 4 pagi ini.

"Kami akan dibawa menaiki kenderaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari kediaman kami di Taman Mewah Yong Peng di sini ke klia2, kira-kira jam 3 petang.

"Terima kasih kepada semua yang tidak putus membantu dan mendoakan kesejahteraan kami terutama anak. Mohon didoakan pembedahan hati nanti berjaya," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau yang berkhidmat sebagai pembantu tadbir di Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) mengambil cuti tanpa gaji sejak sebulan lalu bagi menjaga anak bongsu daripada dua beradik itu yang mendapat arahan kuarantin daripada doktor.

"Bacaan Bilirubin dalam darah akibat Jaundis atau demam kuning anak saya mencecah 268 umol/L berbanding 80 hingga 90 umol/L sebelum ini dan sejak dua bulan lalu dia sudah dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

"Apabila menerima rawatan di wad, kami akan tinggal selama seminggu dan saya juga perlu membawanya ke klinik swasta tiga kali sehari untuk sedut kahak bagi mengelakkan kuman menjangkiti paru-parunya," katanya.

Beliau berkata, beliau dan suaminya Mohd Hafiz Hashim, 33, yang juga penyumbang sebahagian hati dalam pembedahan itu nanti dijangka berada di Shanghai selama dua bulan pasca pembedahan sebelum pulang semula ke tanah air.

"Kami dijangka menyambut Ramadan di sana dan berharap semuanya akan berjalan lancar dan dapat menyambut Aidilfitri di Malaysia," katanya.

Pada 9 Mac lalu, media melaporkan ATM menyumbangkan dana RM160,000 bagi membiayai kos pembedahan hati Nur Sumayyah di Shanghai.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, dilaporkan berkata sumbangan diperoleh daripada warga ATM dan orang ramai yang diharap bukan sahaja meringankan beban tetapi yang lebih penting, membantu usaha memulihkan bayi berkenaan.

Mohd Hafiz adalah anggota Rejimen Askar Diraja (RAD) Kem Mahkota, Kluang, yang sudah berkhidmat lebih 12 tahun dengan Kor Agama ATM (KAGAT).

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com