Bayi Dijangkiti Herpes Kerana Ibu Suka Cium Bibir


BAHANA… Seorang ibu yang sering mencium bibir bayinya telah menyebabkan bayi yang berusia tiga bulan itu dijangkiti herpes hinggakan seluruh badannya penuh dengan bintik merah.

Bayi berkenaan telah dikejarkan ke klinik berhampiran namun doktor yang bimbang dengan keadaannya kemudian memindahkan bayi tersebut ke hospital di Hangzhou, China.

“Seluruh badan bayi itu kemerahan dan berair. Dia juga demam panas kerana jangkitan berkenaan tidak dirawat selama beberapa hari. Kesian melihatnya,” kata doktor yang merawatnya, Dr. Zhu Haiqiao.

Pada mulanya doktor menyangka bayi tersebut mengalami sakit kulit namun selepas rawatan barulah dia dikenal pasti terkena herpes.

Dr. Zhu percaya bayi itu dijangkiti penyakit berkenaan dari ibunya, yang selalu menciumnya di bibir. Bayi yang terkena herpes berisiko mengalami kerosakan organ dan ada sesetengah kes boleh membawa maut.

Nasib baik penyakit itu dapat dirawat dan bayi berkenaan kini telah dibenarkan balik ke rumah. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com