Bayi 13 Bulan Kena Bedah Akibat Tertelan Bateri


SEOLAH-OLAH tidak percaya apabila bapa dan ibu kepada seorang bayi 13 bulan mendapat tahu anaknya tertelan sebiji bateri daripada serpihan kalkulator di Puncak Alam, Selangor.

Lapor Harian Metro, Nuramirah Mohd Yusof, 27, mengesyaki bateri yang sepatutnya ada pada kalkulator miliknya telah hilang apabila mesin pengira tersebut jatuh ke atas lantai.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 5 petang pada 28 Mac lalu menyebabkan Nuramirah berasa tidak senang hati setelah mencari bateri yang hilang hampir lapan jam tidak dijumpainya.


“Jadi saya terus buka mulut Muhammad Izz Nuqman untuk melakukan pemeriksaan kalau ada benda asing, tetapi gagal mengesan sebarang objek mencurigakan.

“Saya hubungi suami ketika itu berada di China atas urusan kerja. Suami nasihatkan saya supaya bawa anak ke klinik pemeriksaan lanjut,” katanya.

Semasa pemeriksaan kali pertama dan kedua di klinik yang berbeza, doktor menolak kemungkinan anaknya tertelan bateri.

Namun, Nuramirah sekali lagi membuat pemeriksaan untuk kali ketiga di sebuah klinik di Puncak Alam dan hasil imbasan X-Ray doktor mengesahkan anaknya tertelan bateri kalkulator yang ketika itu dikesan tersekat pada usus.

Nuramirah dinasihatkan doktor berkenaan untuk membawa anaknya ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut sebelum dibedah untuk mengeluarkan bateri itu.


Pembedahan tersebut telah berjaya mengeluarkan bateri yang berkarat berkenaan dari tubuh dan Muhammad Izz Nuqman berada dalam keadaan selamat.

Doktor memberitahu Nuramirah, bateri itu masih aktif dan sudah bertindak balas dengan badan, yang boleh menyebabkan koma dan maut jika lebih empat hari di dalam badan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com