Bau Busuk Dari Rumah Jiran, Rupa-Rupanya...


Melaka: Seorang lelaki tergamam sebaik diberitahu bau busuk yang dihidunya sejak lebih seminggu lalu adalah bau mayat jirannya yang juga lelaki warga asing dalam kejadian di Taman Kenanga, Tengkera di sini, petang kelmarin.

Mayat lelaki dipercayai warga Bangladesh tanpa identiti itu ditemui penjaga rumah berkenaan dalam keadaan berulat selepas dimaklumkan jiran berhampiran mengenai bau busuk.

Mayat ditemui berselimut dalam sebuah bilik itu turut dikatakan mempunyai kesan kelar di leher.

Penduduk, Kenny Tan, 32, berkata, sejak lebih seminggu lalu dia terhidu bau busuk, tetapi menganggap ia mungkin bangkai tikus.

Katanya, oleh kerana sering tiada di rumah kerana urusan kerja luar, dia menyangka ia bau bangkai haiwan berkenaan kerana sebelum ini pernah terjadi.

“Tetapi, semakin hari baunya semakin busuk sehingga jiran terpaksa memaklumkan kepada penjaga rumah itu kerana mendapati ia (bau) datang dari dalam.

“Memang terkejut sebaik diberitahu bau busuk itu datangnya daripada mayat manusia dan rumah kami hanya bersebelahan,” katanya di lokasi kejadian.

Menurutnya, rumah terbabit sudah lama kosong kerana tiada penyewa sebelum warga asing itu masuk pada pertengahan Mac lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, laporan polis dibuat oleh penjaga rumah berusia 60-an di Balai Polis Tengkera petang kelmarin.

Katanya, berdasarkan keadaan mayat yang reput dan berulat, mangsa dipercayai meninggal dunia lebih daripada 10 hari.

“Siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang pengenalan diri milik mangsa, bagaimanapun polis mendapati terdapat unsur jenayah.

“Ia susulan penemuan sebilah pisau pemotong sayur dipercayai senjata yang digunakan di dalam rumah itu,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber – Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com