Barat Didakwa Sabotaj Piala Dunia Rusia 2018


JURUCAKAP Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova dalam satu kenyataan mendakwa Amerika Syarikat dan Britain mahu menghalang Rusia menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018.

Menggunakan alasan serangan racun terhadap bekas perisik Rusia yang tinggal di Britain, Washington dan London telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang bertujuan menjejaskan kejohanan berprestij di Rusia itu bermula Jun nanti.

Kerajaan AS dalam kenyataan terbaru berkata peminat bola sepak Inggeris patut fikir dua kali sebelum hadir ke temasya sukan itu di Rusia.

Menurut kerajaan AS, peminat bola sepak Inggeris mungkin akan berhadapan reaksi membahayakan daripada Rusia ekoran tindakan AS dan Britain menghalau diplomat Rusia.

Pengurangan sokongan konsular kedua-dua negara sekutu itu di Rusia dijangka menyukarkan keadaan sekiranya perkara buruk terjadi melibatkan warganegara AS dan Britain di Rusia.


Setiausaha Luar United Kingdom, Boris Johnson sebelum itu menyamakan Piala Dunia Rusia 2018 dengan Olimpik Munich tahun 1936 semasa Jerman di bawah Adolf Hitler.

Perkembangan ini ialah petunjuk terbaharu menunjukkan iklim politik yang semakin kuat membayangi sukan bola sepak di peringkat antarabangsa.

Isu berkaitan Piala Dunia 2018 ini ialah kesinambungan politik antara AS, Britain, dan sekutu mereka dengan Rusia yang telah sedia dingin sejak sedekad lalu dan semakin buruk sejak 2014 selepas Rusia menakluk Crimea di Ukraine.

Banyak lagi sabotaj boleh dijangka bakal dikenakan pada Rusia menjelang dan semasa kejohanan itu nanti, memandangkan Barat nampaknya bersungguh-sungguh mahu memalukan Rusia dan Presiden Vladimir Putin yang dimusuhi kuat Barat sekarang ini.

Usaha bersama negara-negara Barat ini boleh mengurangkan kehadiran ke Piala Dunia di Rusia, menjejaskan prestij kejohanan itu, mengurangkan kegiatan ekonomi yang berpotensi dihasilkan dan akhirnya memburukkan imej Rusia sendiri.

Sekiranya apa yang nampaknya diharapkan Barat ini terjadi, bolehlah nanti kejohanan Piala Dunia 2018 disebut sebagai kejohanan Piala Dunia paling gagal dalam sejarah.

Bagaimanapun, bukan Rusia satu-satunya yang berdepan cabaran menjadi tuan rumah Piala Dunia.


Tuan rumah kejohanan tahun 2022, Qatar juga dihujani pelbagai masalah yang semakin mendapat perhatian sejak beberapa tahun lalu.

Qatar yang sekarang ini dipinggir dan diboikot oleh Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, dan Mesir, didakwa tidak layak mengendalikan kejohanan Piala Dunia.

Qatar dituduh mencabul hak asasi pekerja asing yang didatangkan untuk membina projek-projek mega infrastruktur bagi Piala Dunia 2022, dan didakwa cuaca pada masa kejohanan itu nanti terlampau panas.

Negara Arab itu juga dituduh terlibat dalam pembelian undi bagi membolehkannya memenangi hak penganjuran, melibatkan pelbagai bentuk rasuah.

Lobi dijalankan oleh pihak berkepentingan untuk mendesak FIFA membatalkan penganjuran Piala Dunia oleh Qatar, dan dipindahkan ke negara lain.

Britain dan Amerika Syarikat antara yang pernah disebut boleh menggantikan Qatar sebagai tuan rumah pada 2022.

Qatar pada masa ini telah berdepan pelbagai tindakan politik dan ekonomi oleh jiran-jirannya, yang mempunyai kuasa kewangan dan lobi yang kuat di Washington.

Menjelang 2022 nanti, Qatar dijangka berhadapan dengan cabaran lebih hebat untuk menjejaskannya.

Politik, melibatkan politik dalaman dan geopolitik negara-negara terbabit, nampaknya semakin rancak dalam kejohanan Piala Dunia 2018 ini dan yang akan datang pada 2022.  - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com