Barang Elektrik, Kenderaan Semua Hazali Boleh Baiki!


ALOR SETAR - Seorang peniaga dari Kampung Bandar, Mukim Siong, Pendang mempunyai kemahiran memperbaiki barangan elektrik terbuang termasuk kenderaan terbuang dan telah menjadi sumber rezeki utamanya.

Menurut Hazali Ariffin, bakat itu dimiliki sejak berusia 18 tahun hasil bekerja di sebuah kedai menjual radio.

“Semua jenis barangan elektrik saya boleh baiki. Laptop, radio, televisyen, kipas yang dibuang di tong sampah pun boleh diperbaiki semula.

“Saya sekolah takat darjah empat saja, tapi alhamdulillah ALLAH beri fikiran yang luas dalam bidang elektrik dan kenderaan. Dengan kemahiran inilah saya sara isteri dan empat anak,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Tambah Hazali, dengan kemahiran dimiliki, kerosakan pada kenderaannya termasuk barangan elektrik tidak pernah dihantar ke kedai.

“Dua kereta dan van saya tak pernah hantar lagi masuk bengkel. Jika rosak, semuanya saya baiki sendiri.

“Bagi kerosakan kenderaan yang saya mahir baiki pula ialah pendawaian dan enjin. Tapi saya tak sediakan perkhidmatan itu untuk pelanggan sebab tak cukup masa,” katanya memetik Sinar Online.

Malah katanya, kebanyakan barangan elektrik digunakan dalam rumah ialah hasil daripada barangan terpakai yang diperbaiki semula.

“Kipas siling, radio, mesin basuh, periuk nasi dan nettop saya ambil daripada barang terbuang dan baiki semula. Dari situ perbelanjaan keluarga dah boleh jimat,” ujarnya.

Hazali berkata, selain membaiki barangan elektrik dengan harga berpatutan, dia juga turut menyediakan beberapa perkhidmatan lain.

“Pelanggan juga boleh dapatkan perkhidmatan membaiki komputer dan laptop, upgrade windows komputer dan laptop.

“Selain itu, saya sediakan perkhidmatan pemasangan dan servis MYTV, menjual barangan elektrik terpakai termasuk reka cipta papan litar elektronik,” katanya.

Tambahnya lagi, perniagaan tersebut hanya dijalankan di rumah sendiri dan ketika ini dia belum bercadang meluaskan perniagaannya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com