Bapa Lumpuh Dari Sungai Petani Rayu Diberi Kerja Tampung 5 Anak Sekolah


ALOR SETAR - Seorang bapa berstatus orang kurang upaya (OKU) menagih simpati diberikan pekerjaan yang membolehkan dia menampung pembelajaran sekolah lima anaknya yang masih bersekolah.

Menurut Andi Osman Andi Malla, 40, dia yang menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM300 sebulan tidak mampu menampung kos rawatan dirinya apabila wang itu teraksa digunakan untuk membayar sewa rumah RM250.

Jelasnya lagi, baki RM50 itu digunakan untuk membeli makanan, belanja sekolah anak serta lampin pakai buang dewasa yang perlu saya gunakan setiap hari.

“Saya masih lagi mempunyai kekuatan tangan, oleh itu, saya amat berharap simpati mana-mana pihak untuk memberikan saya peluang pekerjaan bagi menampung keperluan sekolah anak memandangkan saya kini berstatus sebagai bapa tunggal selepas ditinggalkan isteri.

“Saya turut merayu jika ada mana-mana pihak sanggup menaja kos perubatan dan rawatan bagi memulihkan kaki ini supaya dapat kembali bekerja seperti sedia kala dan mencari rezeki halal buat keluarga,” katanya memetik MyMetro.

Andi Osman kini menjadi OKU sejak terjatuh terduduk ketika mahu menuruni anak tangga bas yang licin ketika bertugas sebagai konduktor bas, enam tahun lalu di Kampung Teluk, Sungai Petani.

“Sejak kejadian itu, saya terasa sakit dari bahagian atas paha terus ke hujung kaki dan membuat pemeriksaan di hospital, namun selepas sebulan badan saya mulai kebas akibat masalah saraf tulang belakang.

“Kaki saya mulai terasa sejuk, seperti sentiasa digigit semut apabila berdiri lama sehinggalah lama-kelamaan, saya tidak dapat berdiri dan hanya mampu duduk.

“Selepas peristiwa itu, saya langsung tidak dapat menggerakkan hujung kaki, sehinggakan mahu mengangkat jari kaki pun tidak berdaya dan akhirnya menyebabkan paha serta betis bertukar menjadi semakin kecil,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk, pada Ahad.

Andi Osman berkata, kakinya tidak mampu bergerak langsung walaupun seinci, namun dia masih berharap untuk sembuh seperti sedia kala kerana mengenangkan anaknya berusia enam tahun hingga 15 tahun yang masih membesar dan memerlukan perhatian.

Hadir sama ke rumahnya, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan (SK) Khir Johari, Sungai Petani, Mohamad Tarmizi Mohd Yusuff.

Pada masa sama, Mohamad Tarmizi berkata, pihak sekolah bertekad membantu anak Andi Osman yang juga murid berkebolehan dan mempunyai prestasi baik di sekolah mereka.

“Kami sentiasa memantau keadaan keluarga Andi Osman kerana dua daripada mereka adalah murid sekolah ini dan mereka pernah tidak hadir ke sekolah hampir seminggu disebabkan sering lapar kerana tidak mempunyai makanan.

“Keadaan itu menyebabkan pihak sekolah mengambil tindakan khas menyiasat keadaan mereka dan memberi bantuan makanan diusahakan alumni.

“Cuma kini, kami risau mengenai adik bongsu mereka berusia enam tahun dan masih kecil terpaksa berkongsi basikal melalui jalan utama bandar yang sangat sibuk dan berbahaya,” katanya.

Tambah Andi Osman, dia amat berterima kasih kepada pihak sekolah yang sentiasa mengambil berat masalah mereka dan orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh menghubunginya di 017-4521524. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com