Bapa 6 Anak Dari Kulim Berbasikal Ke Makkah, Jelajah 8 Negara


ALOR SETAR - Seorang bapa kepada enam orang anak semalam memulakan kayuhan solo ke Makkah bagi menunaikan rukun Islam kelima iaitu menunaikan ibadat haji.

Setelah dua tahun berlatih, Sulaiman Abd Lah, 47, dari Padang Serai, Kulim, Changlun di sini dijangka tiba di Makkah pada 16 Julai tahun ini.

Beliau yang akan menempuhi lapan negara dengan kayuhan sejauh 10,000 kilometer (km) itu hanya berbekalkan beberapa peralatan, sedikit makanan dan senaskah al-Quran.

Tambah beliau, masjid di sepanjang perjalanan akan menjadi tempat persinggahan selain akan mengkhatamkan kitab suci itu sepanjang kembaranya.

"Saya menyimpan hasrat ini sejak tujuh tahun lalu, hari ini cita-cita saya tercapai selepas dua tahun menjalani latihan dengan tunjuk ajar golongan profesional.

"Saya namakan kayuhan saya ini 'Kembara Menuju Lambaian Kaabah 2018' sebagai motivasi untuk diri sendiri," katanya ketika ditemui sebelum memulakan kayuhan semalam.

Suliman berkata, beliau mengambil masa sebulan untuk membuat kajian laluan yang bakal ditempuhi dan mendapat nasihat dari orang alim untuk tidak melakukan kayuhan pada hari Jumaat.

Menurut Penolong Pengurus Unit Elektrik dan Elektronik Tol Plaza Jambatan Pulau Pinang itu berkata, setiap hari Jumaat sepanjang perjalanan itu akan digunakan untuk beriktikaf di masjid.

"Keluarga dan rakan-rakan memberi sokongan moral dalam misi kayuhan saya ini. Saya turut mendapat pelbagai tajaan termasuk syarikat saya bekerja iaitu PLUS Malaysia Berhad, Terengganu Cycling Team (TSG) dan daripada rakan media akhbar Metro," katanya memetik BH Online.

Suliman yang memulakan kayuhan kira-kira jam 8.50 pagi itu dari sebuah hotel di Changlun turut ditemani ahli keluarga serta kenalan sehingga ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Seterusnya, beliau kemudian meneruskan kayuhan sejauh 115 km ke Masjid Al-Bushra, Phattalong, Thailand.

Jelasnya, kayuhan itu akan menguji ketahanan fizikal dan mental berikutan akan menghadapi cuaca musim panas di negara yang dilalui iaitu Thailand, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Iran, UAE dan seterusnya Arab Saudi.

"Walaupun cuaca panas, saya perlu harungi demi niat saya untuk beribadah dan menunaikan rukun Islam kelima, saya memilih untuk untuk berkayuh ke sana supaya dapat melihat keagungan Islam dan ciptaan Ilahi sepanjang perjalanan.

"Insha Allah saya akan kemas kini Facebook saya menerusi laman Man Gerek Abdullah dan Kemlak setiap tiga hari bagi berkongsi dengan orang ramai mengenai perjalanan saya, selain mengharapkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan saya berjaya dalam misi ini," katanya yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam sukan berbasikal.

Sekembalinya dari tanah suci, Suliman berhasrat untuk memberikan motivasi kepada pelajar sekolah yang terpilih supya pengalamannya menempuh pelbagai cabaran semasa kayuhan dapat dikongsi selain memberikan semangat dan pengajaran kepada mereka. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com