Bantah Calon PAN: PPBM DUN Alor Mengkudu Lumpuh, 15 Pusat Daerah Mengundi Tutup


Tindakan Parti Amanah Negara (PAN) 'merampas' kerusi Dewan Undangan Negeri Alor Mengkudu membawa padah kepada pakatan parti pembangkang dalam Parlimen Alor Setar untuk menghadapi pilihan raya umum ke 14 pada 9 Mei ini.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Alor Mengkudu hari ini bertindak menutup semua 15 Pusat Daerah Mengundi (PDM) sekaligus menghentikan gerak kerja parti.

Dalam pada itu, 15 ketua PDM dan dijangka seramai 4,000 ahli PPBM bertindak keluar parti serta-merta.

Tindakan itu diambil tidak sampai 24 jam selepas Presiden PAN, Mohamad Sabu mengumumkan senarai calon PAN yang bertanding di 10 DUN di negeri ini.

Timbalan Pengerusi PAN negeri, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yang juga bekas ADUN Pengkalan Kundor akan bertanding kerusi Alor Mengkudu.

Sementara itu bekas ketua PDM parti berkenaan  juga berikrar untuk menyokong kemipinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selaku Pengerusi Barisan Nasional dan Ketua Perhubngan UMNO negeri Kedah.

Mereka juga akan berkempen untuk memenangkan calon BN yang akan diketengahkan untuk bertanding di Alor Mengkudu.

Ketua PDM Jalan Tanjung Bendahara Alor Setar Ramli Abdul Rahman yang menjadi jurucakap kumpulan itu berkata, mereka akan membikot dan tidak akan memberi kerjasama dalam membantu calon PAN di kawasan itu.

Menurutnya, mereka telah bertungkus lumus hampir dua tahun untuk menyiapkan jentera dan berjaya mempengaruhi penduduk untuk menyertai PPBM.

 Malangnya, kata Ramli kerusi DUN Alor Mengkudu tiba-tiba diserahkan kepada calon PAN yang tidak dikenali dan tidak pernah memberi khidmat keada penduduk setempat.

" Ini merupakan satu pengkhianatan walaupun sebelum ini agihan kerusi antara parti dalampakatan telapun dipersetujui bersama, " kata kepada media di majlis kenduri rakyat dan pengisytiharan keluar parti beramai --ramai di Kampung Gelam, Alor Setar.

Pada majlis itu ketua-ketua PDM itu turut memakai baju BN dan melipat bendera PAN sebagai tanda protes dan tidak akan bekerjasama dengan parti itu pada PRU ini.

Menurut mereka, apa dilakukan adalah salah satu cara untuk 'mengajar' kepimpinan Pakatan Harapan agar tidak mengamalkan politik kepentingan diri dan membelakangkan janji semangat setiakawan yang diikrarkan sebelum ini.

Tindakan  ketua PDM dan bekas penyokong PPBM itu menutup operasi gerak kerja parti bukan sahaja melumpuhkan parti itu di DUN Alor Mengkudu tetapi juga akan menjejaskan sokongan terhadap parti pembangkang dalam Parlimen Alor Setar.

Pakatan meletakkan PKR untuk bertanding di Parlimen Alor, DUN Suka Menanti sementara DAP di DUN Kota Darulaman.

Bagi DUN Alor Mengkudu yang dimenangi oleh PAS pada PRU13, ia menjadi rebutan antara PAN dan PPBM. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com