Bakar Diri Protes Pencemaran Alam


WASHINGTON – Seorang peguam dan aktivis gay Amerika Syarikat (AS) maut selepas membakar dirinya di sebuah taman di New York sebagai satu bantahan terhadap kemusnahan alam sekitar, lapor media tempatan.

The New York Times melaporkan, David Buckel, 60, disahkan mati selepas dia membakar dirinya di Taman Prospect di Brooklyn pada awal pagi kelmarin.

Dalam satu nota yang diedarkan kepada media, Buckel memberitahu, dia menggunakan minyak fosil untuk membakar dirinya sebagai simbolik apa yang berlaku pada Bumi.

“Pencemaran memusnahkan planet kita, meracuni penghuninya melalui udara, tanah, air dan cuaca.

“Kebanyakan manusia di planet ini kini bernafas dengan udara yang tidak sihat akibat minyak fosil dan akibatnya ramai yang mati awal. Kematian awal saya dengan minyak fosil menunjukkan apa yang kita lakukan pada diri kita,” katanya dalam nota itu.

Buckel sebelum ini terkenal kerana memperjuangkan hak golongan gay di mahkamah dan menjadi pengarah satu organisasi yang membantu perkahwinan sejenis di AS.

Seorang rakannya memberitahu The New York Times, selepas meninggalkan organisasi itu Buckel mula terbabit dalam memperjuangkan isu alam sekitar.

Dalam nota bunuh dirinya, Buckel berharap kematiannya akan menjadi satu bentuk kejutan untuk pihak berkuasa mengambil tindakan mengenai alam sekitar. 

Sumber – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com