Badan Datuk Seri Vida Susut Sebab Risau Hutang


KUALA LUMPUR - Tubuh menyusut lima kilogram (kg), usahawan selebriti, Datuk Seri Vida menafikan dirinya 'makan hati' hingga hilang selera makan.

Vida atau nama penuhnya, Hasmiza Othman bagaimanapun mengaku fikirannya terbeban dengan urusan perniagaan termasuk soal hutang piutang syarikat miliknya.

"Saya susut berat badan bukan kerana 'makan hati'... Saya masih solo dan bebas untuk berkawan dengan sesiapa saja.

"Namun, kepala ini terbeban memikirkan hal lebih penting iaitu urusan perniagaan yang banyak dugaan," katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Ipoh mengarahkan Vida menyelesaikan bayaran cukai pendapatan individu bagi tempoh lima tahun yang dituntut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah lebih RM4.6 juta sebelum 21 Mei depan.

Arahan penyelesaian di luar mahkamah itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Charles Fernandis selepas tuntutan itu difailkan peguam LHDN, Nor Hidayah Mohd Anas di dalam kamar hakim.

Dalam penyataan tuntutan LHDN, Vida dikehendaki membayar kepada LHDN mengikut Subseksyen 91(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2011 hingga 2015 berjumlah RM4,686,435.79.

Vida turut mempersoalkan bagaimana cerita kononnya dia berkahwin, tersebar sejak akhir-akhir ini.

"Tak tahu bagaimana boleh timbul cerita saya berkahwin pula? Sedangkan saya tidak punya calon.

"Tumpuan buat masa ini diberi terhadap bidang perniagaan yang perlu perhatian penuh.

"Tidak banyak yang boleh saya kongsi buat masa ini... Insya-Allah. Saya hanya mampu berdoa supaya semuanya dipermudahkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Vida yang ditemui pada majlis pertunjukan fesyen, Primavalet Fesyen Hub Lebaran 2018 di sini, malam tadi, memberitahu, dia bakal tampil dengan single kedua hasil ciptaan Cat Farish, tidak lama lagi.

"Saya akan merakamkan lagu dengan kos lebih kecil berbanding dulu. Kalau boleh rakam guna telefon mudah alih saja kerana semuanya sudah canggih sekarang.

"Belajar dari kesilapan dulu, saya tidak mahu membelanjakan wang dengan jumlah yang besar hanya untuk merakamkan lagu," katanya yang enggan berkongsi lebih banyak maklumat demi memberi kejutan kepada peminat.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com