Azwan Ali Mahu Jadi Calon Bebas Jatuhkan Azmin


PETALING JAYA: Penghibur kontroversi, Azwan Ali akan bertanding sebagai calon bebas untuk menentang abangnya yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Katanya, tindakan itu bertujuan menyedarkan pengundi mengenai sikap sebenar timbalan presiden PKR itu.

“Saya didesak penyokong-penyokong saya. Setelah berfikir dan mendapat sokongan, dari situ idea untuk bertanding itu merebak. Saya akan tentang Azmin di mana sahaja dia bertanding, walaupun harapan menang tipis.

“Kalau saya jadi calon, ia bukan soal menang atau kalah, cukup sekadar untuk pecah undi. Saya juga tidak harap untuk mewakili mana-mana parti,” katanya kepada FMT.

Azwan berkata, beliau tidak kisah kehilangan wang deposit kerana nilai itu tidak besar baginya.

“Duit saya ada berjuta-juta ringgit di dalam bank. RM10,000 saya lebih dari mampu dan kalau duit itu hilang pun tidak mengapa, anggaplah ia sedekah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

SPR menetapkan setiap calon wajib membayar deposit RM10,000 untuk kerusi Parlimen dan RM5,000 bagi kerusi Dewan Undangan. Mereka juga perlu membayar tambahan RM5,000 sebagai deposit bahan kempen di kawasan Parlimen dan RM3,000 untuk DUN.

Mereka akan kehilangan wang deposit RM10,000 dan RM5,000 jika gagal mendapat 1/8 daripada jumlah undi yang diperolehi semua calon bertanding pada pilihan raya itu.

Azwan tidak menafikan keputusannya bertanding bersifat peribadi untuk menjatuhkan Azmin, tetapi beliau sedia menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat jika diberikan mandat oleh rakyat.

“Sasaran saya adalah pengundi atas pagar, sudah tentu kehadiran saya ini akan menyebabkan mereka gembira. Jika dipilih sebagai wakil rakyat, saya akan dedikasikan hidup kepada mereka.

“Saya akan bantu penyokong-penyokong saya, bukannya hanya bantu 5 tahun sekali. Saya sudah bersedia dari sudut mental dan fizikal. Nantikan saya pada hari penamaan calon.

“Kalau borang saya diterima SPR, saya akan ‘telanjangkan’ Azmin, saya mahu dia kalah. Kalau dia menang, saya pula tidak akan rasa apa-apa, tetapi tunggu pula bala yang lebih besar.”

Sumber: FMT

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com