Australia Eksport Tembikai Wangi Dicemari Listeria: WHO


GENEVA - Tembikai dicemari bakteria membawa maut listeriosis dari Australia dieksport ke sekurang-kurangnya sembilan negara termasuk Malaysia dan Singapura, di mana wabak itu meragut nyawa tujuh orang dan menyebabkan keguguran, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin.

Tembikai wangi atau dikenali 'rockmelon' atau 'cantaloupe' dihantar ke Hong Kong, Jepun, Kuwait, Malaysia, Oman, Qatar, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain mungkin turut sampai ke Seychelles, kata kenyataan WHO.

Antara 17 Januari hingga 6 April lalu, Australia melaporkan 19 disahkan dan satu kemungkinan kes jangkitan listeriosis, semuanya dirawat di hospital. Tujuh daripada mangsa meninggal dunia.

WHO berkata, bakteria dikenali Listeria monocytogenes berpotensi mempunyai tempoh pengeraman panjang, biasanya satu atau dua minggu namun berkemungkinan sehingga 90 hari, justeru lebih banyak kes mungkin dilaporkan.

"Kes di negara terjejas masih dikenal pasti," kata WHO.

Pengeluar tembikai Australia, yang tidak dinamakan WHO, memanggil semula buahan itu pada 27 Februari lalu.

Pada 2 Mac lalu, pihak berkuasa Australia mendapati tembikai dikeluarkan syarikat terbabit sudah dieksport dan mereka menghantar butiran pemakluman menerusi Rangkaian Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Antarabangsa kepada negara terbabit.

"Dipercayai, punca wabak adalah akibat gabungan keadaan persekitaran dan cuaca yang mencemarkan permukaan buah, dengan paras rendah bakteria masih tinggal selepas proses pembersihan.

"Penanam terus bekerja rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dan kembali membekalkan tembikai wangi bermula 2 April lalu selepas ujian bebas bakteria di kawasan tanaman," katanya.

Listeriosis boleh menyebabkan cirit birit tidak teruk dan demam di kalangan individu sihat dalam tempoh beberapa hari.

Namun ia juga mencetuskan keadaan teruk seperti septisemia dan meningitis di kalangan individu berisiko tinggi seperti wanita hamil, bayi, warga emas dan mereka yang sedang menjalani rawatan untuk kanser, AIDS atau pemindahan organ. -AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com