Aura ‘Ustaz Pilot’ Terbang Tinggi Di TV AlHijrah


PENAMPILAN ala juruterbang dan lontaran suara yang lantang membuatkan ramai penonton terpukau. Itulah kelainan Ustaz Lukmanul Hakim Hanafi.

Lebih popular dikenali dengan gelaran ‘Ustaz Pilot’, beliau mula mendapat perhatian dalam kalangan peminat program dakwah menerusi stesen TV AlHijrah.

“Sebenarnya saya bukanlah seorang juruterbang, saya ustaz kampung sahaja,” ujar Ustaz Lukmanul Hakim dalam nada merendah diri.

Beliau merupakan seorang penceramah bebas serta pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Fiqh Usul, Haji dan Umrah.

“Cadangan nama program ini, diberikan oleh unit kandungan TV AlHijrah sendiri. Saya pun tak sangka ada orang ingat saya benar-benar seorang juruterbang,” ujar Ustaz Lukmanul Hakim.

Beliau tidak menafikan adakala pernah juga disapa segelintir peminat dan bertanyakan tentang kaitannya dengan kerjaya sebagai juruterbang.

“Saya tidak boleh memandu kapal terbang pun, itu hanyalah nama tajuk program di stesen TV Islamik Terbaik Asia, TV AlHijrah,” jelasnya.

Ustaz Lukmanul Hakim juga mengucapkan ribuan terima kasih kerana TV AlHijrah memberi peluang buatnya, dalam menyampaikan ilmu agama, dan ucapan tahniah kerana stesen TV ini.


Saluran berkenaan sering memberikan kelainan kepada penonton yang ingin menimba ilmu agama melalui TV. Ustaz Pilot musim baharu bakal mengetengahkan topik berkaitan amalan mudah menuju syurga.

Program ini mengupas amalan-amalan kecil, tetapi diberi ganjaran yang besar oleh Allah SWT sebagai bekalan untuk menuju ke syurga.

Lengkap dengan fakta dan hadis sahih, penyampaian ustaz yang tegas dan diselitkan unsur lawak jenaka ternyata mampu membuat penonton tersenyum lebar apabila mengikuti rakaman di Al Hijrah Big Studio, Cyberjaya.

Ustaz Pilot versi Pintu Syurga, bertemu penonton pada setiap Khamis pukul 7.30 malam, dan ulangannya pada Khamis, 10 malam menerusi TV AlHijrah.

Antara topik yang dibincangkan ialah Kalimah  La Ilaha Illallah, Jumaat Penghapus Dosa, Keajaiban Solat Sunat dan banyak lagi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com