ATM Rampas 140 Kilogram Daun Ketum Di Pos Sahara Padang Terap


PADANG TERAP – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pasukan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (RRD) merampas 140 kilogram daun ketum bernilai kira-kira RM12,600 yang dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran pagi tadi.

Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata rampasan itu dilakukan oleh lapan​​​​​​​ anggota Kumpulan Ronda pasukan itu berhampiran Pos Sahara, di sini pada 10 pagi tadi.

Beliau berkata daun ketum itu ditemui apabila pasukan tersebut menjumpai satu longgokan kain berwarna hijau di kawasan hutan.

“Pemeriksaan mendapati longgokan tersebut adalah lima kampit plastik, di dalamnya terdapat daun ketum yang diikat rapi. Terdapat 280 ikat kesemuanya bernilai kira-kira RM12,600 yang kita rampas untuk tindakan selanjutnya, ” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata daun ketum yang ditemui itu masih baharu dan dipercayai ditinggalkan sindiket pada malam tadi sebelum pihak ketiga menyeludup masuk ke negara jiran.

Beliau berkata daun ketum yang dirampas dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com