AS Sah Pindah Kedutaan Sebelum 1 Ramadan


BIADAB… Setelah sekian lama berteka-teki, Amerika Syarikat (AS) tanpa hirau protes komuniti dunia, secara rasmi bakal membuka kedutaan baharunya di Baitulmaqdis pada 14 Mei depan.

Berita dianggap amat gempar itu meskipun sudah dijangka namun ternyata amat guris hati umat Islam seluruh dunia apabila ia secara teknikal bermaksud AS iktiraf bandar suci Palestin tersebut sebagai ibu kota baharu Israel.

Lebih sedih, upacara pemotongan reben sebagai tanda perasmian bangunan canseri diplomatik kuasa besar dunia itu jatuh sehari sebelum ulang tahun ke-70 rakyat Palestin diusir keluar dari tanah airnya sendiri oleh rejim Zionis.

Menurut laporan akhbar Times of Israel, majlis penuh bersejarah itu berlangsung pada hari kononnya diisytihar kemerdekaan negara haram Yahudi tersebut atau disebut juga sebagai Yom Ha’atzmaut pada 14 Mei 1948 lalu.

Harian berpengaruh itu melaporkan, tarikh berkenaan turut dipersetujui Presiden AS, Donald Trump selepas ambil kira tarikh takwim Hebrew pada 5 Iyar 5708 jatuh 19 April ini, namun disambut lewat hampir sebulan kemudian.

Ironinya, tarikh itu berlangsung sehari sebelum Yawm an-Nakba atau Hari Bencana bagi rakyat Palestin kerana pada 15 Mei 1948, lebih 700,000 penduduk dihalau malahan kampung mereka dimusnahkan daripada peta dunia.

Paling kurang ajar, tarikh perasmian kedutaan AS itu memang sengaja dipilih pihak rejim Israel kerana jatuh sehari sebelum umat Islam di seluruh dunia akan mula menunaikan puasa fardu bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Pengumuman pemindahan canseri AS itu ke Baitulmaqdis pada tarikh itu turut dibantah keras oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulmalik Al Saud ketika hadir pada sidang kemuncak Liga Arab di negaranya, kelmarin.

Baginda dalam titah ucapannya sekali lagi mengulangi penolakan semua negara Islam terhadap keputusan AS memindahkan bangunan diplomatiknya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis atau disebut juga Jerusalem oleh Israel.

“Kami umat Islam sekali lagi menolak keras langkah pemindahan kedutaan AS pada tarikh ditetapkan itu. Bahagian Baitulmaqdis Timur masih lagi kekal sebahagian daripada wilayah berdaulat Palestin,” titah tegas Raja Salman.

Baginda turut mengumumkan sumbangan AS$150 juta (kira-kira RM583 juta) untuk geran usaha pemuliharaan warisan hartanah Islam di Baitulmaqdis Timur yang turut menempatkan kompleks bersejarah Masjid Al-Aqsa.

Untuk rekod, Trump pada 6 Disember tahun lalu dengan angkuh mengisytiharkan pemindahan kedutaan AS sekali gus mengiktiraf kota suci Baitulmaqdis sebagai ibu negara baharu Israel meskipun dibantah keras komuniti dunia.

Ini terbukti apabila 128 negara termasuk Malaysia menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu pada 22 Disember tahun lalu tidak iktiraf ia sebagai ibu kota baru Israel. 

Sumber – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com