Ariffin Man Mahu Terus Mempertahankan DUN Bukit Lada


ALOR SETAR – Calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dari parti Barisan Nasional (BN) menzahirkan keyakinan mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada dengan berbekalkan semangat juang yang tinggi.

Datuk Ariffin Man yakin dengan segala gerak kerja yang diterapkan anggota jentera parti itu sejak sekian lama mampu mempertahankan kerus di bawah Parlimen Pokok Sena tersebut.

Ujarnya, sejak sebelum menghadapi pilihan raya umum lagi jentera parti acap kali turun padang memberikan khidmat kepada rakyat malah mereka sudah lama bekerja iaitu lebih lima tahun membantu rakyat.

“Alhamdulillah (proses) penamaan calon selesai…kita yakin dan percaya dapat mempertahankan (kerusi DUN) Bukit Lada, jentera parti yang cukup bersemangat dan bertungkus lumus membuat kerja, kita bekerja dah lama, lima tahun lebih,” katanya kepada pihak media selepas penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena, semalam.

Dalam perkembangan pencalonan, kerusi DUN Bukit Lada menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Mohd Aizad Roslan (PKR-PPBM), Ariffin, Datuk Mohd Ismail Othman (Bebas) dan Salim Mahmood (PAS).

Terdahulu, kerusi DUN Bukit Lada disandang Datuk Ahmad Lebai Sudin daripada BN pada PRU13 namun namanya digugurkan sebagai calon bagi PRU14. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com