APMM Tingkat Rondaan Di Perairan Langkawi Kekang Kemasukan Rohingya


ALOR SETAR - Pihak Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Maritim Utara kini dalam usaha tingkatkan rondaan di sekitar perairan Langkawi di Selat Melaka dan Laut Andaman di Langkawi.

Usaha itu dilakukan ekoran terdapat laporan berhubung bot yang dinaiki berpuluh-puluh pelarian Rohingya yang dikatakan sedang menuju ke perairan Malaysia sejak petang Ahad.

Hasil risikan awal oleh APMM menemukan maklumat tersebut dan kini pihaknya melipatgandakan rondaan bagi mengekang aktiviti itu, kata Pengarah Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd. Said.

“Walau bagaimanapun, sehingga hari ini masih tiada sebarang pengesanan atau tanda-tanda kemasukan bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan memetik Utusan.

Tambah Rozali, enam aset APMM telah dikerah untuk menjalankan rondaan dan sentiasa waspada di beberapa kawasan di perairan Wilayah Utara, aset APMM yang terlibat adalah dua kapal dan empat bot untuk tujuan pengesanan.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta memberi kerjasama dengan pihak APMM.

“Orang ramai boleh menghubungi talian 24 Jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Wilayah Maritim Utara Langkawi 04-9662750 untuk lanjut,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com