Apa Yang Mahathir Nak Beri Pada Sabah Ketika Usia 93?


“Apa yang Dr Mahathir Mohamad beri kepada kami apabila beliau menjadi perdana menteri? 

Hanya sedikit berbanding apa yang kami dapat sekarang. Beliau tidak boleh bercakap mengenai penyediaan infrastruktur lebih baik kepada kami."

“Sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, beliau tidak melakukannya. Beliau akan mula memberi (pembangunan kepada kami) pada usia 93 tahun?” soal Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Pairin dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa lalu.

Pairin yang dipetik dari laporan FMT merujuk janji Dr Mahathir untuk menambah baik kemudahan di Sabah dan Sarawak, jika Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih pemerintahan di peringkat pusat dan negeri.

Sebelum ini pemimpin lain di negeri itu mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menyalahkan “pemimpin tamak” atas “pembangunan perlahan” di Sabah.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak memerlukan pemimpin yang tidak mementingkan diri dan mampu menyelesaikan masalah.

“Jika beliau melihat pada banyak jalan baru, penempatan semula, rakyat dengan tanah yang dimiliki mereka, kampung dilengkapi bekalan elektrik dan air bersih di Sabah, ini semua melalui pembangunan yang berlaku selepas (berakhir) zamannya sebagai perdana menteri.

“Ini akan membuatkan beliau sedar siapa yang masih mementingkan diri.

“Memang ini janji pilihan raya Dr Mahathir, kini pilihan raya umum ke-14 semakin dekat, tetapi timbul persoalan mengenai keikhlasannya.” kata Pairin

Beliau turut membangkitkan “2 isu yang diabaikan pada zaman Dr Mahathir” iaitu pemerkasaan penjawat awam tempatan dan mengembalikan hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengisytiharkan Hari Malaysia sebagai cuti umum kebangsaan disebabkan pengiktirafan terhadap pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Ia turut memberi rakyat Sabah dan Sarawak rasa kekitaan yang lebih kuat.

“Najib yang lebih berani menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah yang menyebabkan laporan negatif mengenai Projek Kad Pengenalan dan banyak lagi dakwaan salah laku di bawah pentadbiran Dr Mahathir.”

Presiden Parti Bersatu Sabah itu berkata, Sabah dan Sarawak berkembang pesat sejak Dr Mahathir berundur pada 2003.

Beliau memberi contoh peruntukan daripada kerajaan pusat pada zaman pemerintahan Dr Mahathir dan penggantinya.

“Ketika menghampiri separuh daripada Rancangan Malaysia ke-11, hampir RM15 bilion sudah diperuntukkan kepada Sabah oleh kerajaan pusat. Tahun ini sahaja, jumlah itu sebanyak RM3.87 bilion.

“Jika dibandingkan dengan Rancangan Malaysia ke-7 (1996 – 2000) hanya RM6.93 bilion diperuntukkan. Di bawah Rancangan Malaysia ke-8, ia bertambah hampir 2 kali ganda kepada RM13.2 bilion.

“Di bawah Rancangan Malaysia ke-9, ia meningkat kepada RM17.7 bilion dan akhirnya pada Rancangan Malaysia ke-10, kami diberikan RM21.96 bilion.”

Pairin berkata, amat ironik untuk pengerusi PH itu mendakwa Sabah dan Sarawak boleh membangun pada kadar lebih pantas jika pemimpinnya “kurang tamak” kerana hakikatnya, dua negeri itu hanya ketinggalan ketika beliau menerajui negara selama 22 tahun.

Terdahulu Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) menyelar tindakan  Dr. Mahathir kerana membuat penghinaan terbaharu beliau erhadap rakyat Sabah dan Sarawak dengan mengatakan rakyat negeri tersebut malas dan mempunyai mentaliti rendah.

Penghinaan itu yang hanya dilihat sebagai alasan oleh Pengerusi PPBM itu di atas ketinggalan pembangunan Sabah dan Sarawak berbanding negeri di semenanjung ketika beliau menjadi Perdana Menteri semala 22 tahun, kata presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com