Apa Nak Takut Kritik DAP


SIAPA sahaja mengkritik kepemimpinan DAP, percayalah anda akan diserang dengan pelbagai label. Jika anda pemimpin UMNO atau seorang Melayu, kelazimannya pasti dituduh memainkan politik perkauman.

Jika yang mengkritik itu bukan UMNO atau Melayu, pantas akan ada label anjing suruhan (kepada UMNO) ditampal di dahi oleh pemimpin atau penyokong DAP.

Terbaharu, lihatlah apa berlaku pada Datuk Zaid Ibrahim dan Dr. Tan Seng Giaw, dua pemimpin parti itu sendiri. Seorang dilabel rasis manakala seorang lagi anjing suruhan.

Namun jika pemimpin DAP yang mengkritik UMNO atau mana-mana pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN), itu tidak pula dianggap memainkan politik perkauman.

Malah, seolah ditanam kalau mengkritik UMNO, itu tindakan terpuji dan berkeras mempertahankannya sebagai hak bersuara. Hakikatnya hak itu terjamin untuk semua di bawah Perlembagaan Persekutuan, bukan hanya untuk DAP.

Jadi, kenapa takut untuk menegur kepemimpinan dan dasar DAP. Ini termasuk mengkritik mereka yang bersekongkol dengan DAP menjayakan agenda Malaysian Malaysia.

Salahkah mengatakan yang bersekongkol dengan DAP sebagai kuda tunggangan parti itu di saat mereka boleh menuduh Seng Giaw pengkhianat dan anjing suruhan?

Takut dilabel rasis? Bimbang dikatakan memainkan isu perkauman? Label lah apa gelaran pun, apa masalahnya? Ini bukan soal kaum, ini soal dasar dan perjuangan parti itu.

Lagi pun pemberian gelaran itu hanya taktik DAP semata-mata supaya menutup orang daripada mengkritik parti itu. Inilah demokrasi ala penjajah .

Sebab itu, baru sebut ada pemimpin DAP ‘makhluk kasar’, Lim Kit Siang sudah pedih telinga meloncat kerana Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan ayat seperti itu.

Kata Penasihat DAP itu, tidak wajar Perdana Menteri, BN menggunakan bahasa tidak sepatutnya kepada lawan politik.

Eh, baru kata kasar sedangkan dulu Kit Siang siap pernah kata pemimpin UMNO jahat. Lupa? Rujuk hansard Dewan Rakyat bertarikh Isnin, 24 November, 1986. 

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com