Anti Berita Tidak Benar: "Saya Tak Yakin Dia Akan Mansuhkan, Tambah Lagi Adalah"


ALOR SETAR - Kenyataan calon Perdana Menteri "sementara" Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang konon mahu memansuhkan Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 sekiranya kembali berkuasa dianggap sebagai retorik pilihan raya semata-mata.

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, beliau tidak yakin dengan kenyataan Mahathir itu ekoran corak kepimpinan bekas Perdana Menteri itu selama 22 tahun menunjukkan sebaliknya.

"Zaman Tun (Mahathir) jadi Perdana Menteri dahulu, dia sekat. Semua dia kawal. Selama 22 tahun dia kawal. Beliau gunakan ISA, ada lagi pula undang-undang yang dia tambah untuk memastikan dia kekal berkuasa.

"Berapa ramai yang dia masukkan dalam tahanan ISA? Nilai sendirilah, terutama keluarga yang pernah menjadi mangsa. Lim Kit Siang pun kena, Lim Guan Eng pun kena, Mat Sabu pun kena, ramai yang kena (tahanan ISA).

"Perkara ini rakyat perlu nilai, jika sebelum ini 22 tahun dia buat semua itu dan hari ini dia kata nak mansuh Akta Anti Berita Tidak Benar, saya tak yakin dia akan mansuhkan. Tambah lagi adalah," katanya mencetus ketawa ramai di sidang media berkenaan.

Mengimbas kembali zaman pemeritahan Mahathir yang sinonim digelar sebagai "kuku besi", mereka yang dilihat mengancam kedudukan beliau termasuk musuh politiknya akan diambil tindakan, termasuk dihumban ke penjara menerusi Ops Lalang dan sebagainya.

Justeru itu kata Ahmad Bashah, beliau tidak yakin Mahathir akan bertindak sedemikian sekiranya bekas "diktator negara" itu kembali memegang kuasa di negara ini.

"Tapi bila dia tidak berkuasa lagi dan masuk pembangkang, (tiba-tiba) dia tak mahu kawal semua berita dan tuduhan palsu ini semua?," katanya lagi.

Sebaliknya Ahmad Bashah berkata, ruang kebebasan media dan kebebasan bersuara semakin terbuka di zaman pentadbiran Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang sebelum ini melunaskan janji memansuhkan ISA.

"Hanya selepas zaman Dato' Seri Najib sahaja barulah dibuka ruang. Zaman Dato' Seri Najib beliau mansuhkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri)," ujar beliau.

Namun begitu, rentetan daripada penularan berita palsu yang semakin tidak terkawal, maka kerajaan sudah tentu perlu menggubal sebuah akta perundangan yang bertindak sebagai alat kawalan daripada masalah awam yang berlaku di negara ini.

Ahmad Bashah berkata demikian sejurus beliau selesai mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaaan Negeri kepada Kedahnews.com, di sini semalam.

Turut hadir bersama adalah barisan Exco Kerajaan Negeri, Dato' Dr Ku Rahman Ku Ismail, Datuk Suraya Yaacob, Dato' Tajudin Abdullah, Dato' Badrul Hisham Hashim, Dato' Amiruddin Omar dan Dato' Norsabrina Mohd Noor. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com