Angkasawan Lepasi 'Ujian Pengesan Penipuan' Nampak Alien, Tapi...


BUZZ Aldrin dilaporkan melepasi 'ujian pengesan penipuan' selepas mendakwa 'melihat sesuatu di luar sana' semasa misinya ke bulan pada 1969.

Aldrin yang merupakan orang kedua berjalan di bulan mendakwa dia melihat sebuah UFO dan nampaknya telah menyatakan kebenaran, menurut Institut Biologi BioAcoustic di Ohio.

Institut itu dilaporkan telah menganalisis rakaman suara angkasawan NASA berkenaan dan mereka yakin bahawa dia menyatakan kebenaran.

Institut itu memberitahu Daily Star pada Ahad bahawa rakaman itu menunjukkan Aldrin 'benar-benar yakin' tentang kebenaran kisahnya.

Bagaimanapun, USA Today pada Selasa melaporkan jurucakap NASA Stephanie Schierholz berkata apa yang dilihat Aldrin adalah empat panel yang dipisahkan dari kapal angkasa dalam penerbangan.

"Panel yang terpisah itu mempunyai momentum yang sama seperti kapal angkasa yang tinggal dan akan turut serta sepanjang perjalanan bulan secara umumnya," katanya.

"Ia juga boleh jadi roket yang telah dipisahkan dari kapal. Ia bukan alien," kata Aldrin dalam satu posting di Reddit pada 2015.

Schierholz berkata perkataan 'tidak dikenali' dalam UFO juga mungkin menimbulkan masalah, kerana ia tidak semestinya bermaksud 'asal-usul alien'.

"Walaupun para jurutera dan saintis dengan bersebab boleh meyakini bahawa apa yang dilihat adalah salah satu panel, bagi mereka ia secara teknikal masih lagi kekal dengan istilah 'tidak dikenali'," katanya.

Daily Star dalam laporannya mendakwa keputusan ujian membuktikan bahawa para angkasawan benar-benar yakin dengan tanda-tanda kehidupan alien yang mereka nyatakan telah melihatnya ketika misi bersejarah itu.

'Ujian' yang dilaporkan menggunakan rakaman lama Aldrin dan rakan-rakannya yang lain, bukan wawancara dengan para angkasawan itu sendiri.

Laporan Daily Star menyatakan Aldrin mendakwa dia melihat 'sesuatu di luar sana yang cukup dekat untuk diperhatikan, seperti berbentuk L,' dalam perjalanannya ke bulan.

Seorang lagi angkasawan, Edgar Mitchell yang merupakan lelaki keenam berjalan di bulan, juga mendakwa melihat sesuatu di luar sana.

Institut itu menyatakan bahawa dakwaannya mengenai alien juga benar kerana suaranya.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com