Angka Banduan Belia Di Penjara Alor Setar Meningkat


ALOR SETAR - Golongan belia berusia 30-an paling ramai menjadi penghuni di Penjara Alor Setar, selain pendatang asing tanpa izin (PATI) yang turut ditempatkan sementara di situ.

Perkara ini disebabkan oleh golongan muda mudah terjebak dengan gejala sosial dan tekanan dari rakan sebaya yang merupakan faktor utama pertambahan tahanan belia.

Menurut Pengarah Penjara Alor Setar, Wan Sani Abdul Latiff, juga mengakui berlaku sedikit kesesakan di penjara itu dengan bilangan penghuni yang bertambah, namun setakat ini, keadaan masih terkawal.

"Masalah itu berjaya diatasi apabila pegawai kami menyusun atur 1,500 penghuni yang menjalani hukuman penjara di sini dengan sebaik mungkin supaya tidak berlaku perkara tak diingini, termasuk penularan wabak penyakit," katanya memetik BH Online.

Jelas Wan Sani, penjara itu diasingkan mengikut kategori iaitu kes reman untuk lelaki dan jatuh hukum untuk wanita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Sambutan Penjara Ke-228 di Penjara Alor Setar, di sini, semalam.

Pada program berkenaan, Wan Sani turut menganugerahkan pingat cemerlang penjara kepada 47 pegawai, manakala 22 pegawai lagi diberikan sijil penghargaan.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan anggota dan pegawainya supaya meningkatkan disiplin dan menghidari rasuah.

Sementara itu, penerima pingat, Sarjan Mohd Jafri Johari, 52, yang sudah 32 tahun bertugas di penjara itu, terharu dan berterima kasih atas penganugerahan yang diterima.

"Ia menaikkan semangat saya untuk menjalankan tugas yang diamanahkan dengan lebih cemerlang," ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com