Anggota TLDM Tak Boleh Terlibat Dalam Aktiviti Politik


LUMUT – Anggota Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) diingatkan supaya tidak terlibat secara aktif dalam mana-mana aktiviti politik menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata kesemua anggota perlu mematuhi peraturan yang termaktub dalam Peraturan Am Angkatan Tentera iaitu tidak melibatkan diri secara aktif dalam mana-mana parti politik.

“Sebagai anggota keselamatan negara, kita perlu bertugas menjaga keselamatan negara tanpa terlibat dengan sebarang unsur politik dan berkempen semasa menjalankan tugas.

Bagaimanapun, undi adalah rahsia dan kita sangat menggalakkan kesemua anggota untuk keluar mengundi dan undilah dengan bijak tanpa dipengaruhi dengan unsur-unsur yang boleh menjejaskan kesejahteraan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Fair Winds and Following Seas 2018 di Dewan Shariff, pangkalan TLDM di sini semalam.

Pada majlis ramah mesra itu, hampir 1,000 pesara TLDM diraikan sebagai menghargai jasa dan pergorbanan mereka sepanjang dalam perkhidmatan.

Ahmad Kamarulzaman turut menyampaikan Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) dan sijil penghargaan TLDM kepada para pesara.

Dalam pada itu, Ahmad Kamarulzaman berkata semasa hari mengundi, anggota TLDM yang ingin pulang ke kampung untuk menunaikan tanggungjawab mereka akan diberi cuti tanpa rekod bagi memudahkan urusan selain menggalakkan anggota untuk pergi mengundi.

Beliau berkata mana-mana anggota TLDM yang berada di luar negara pula sama ada terlibat dalam operasi dan berada berjauhan dari kawasan tempat mengundi atas urusan tugasan akan dibenarkan mengundi secara pos.

“Kita tetap menggalakkan kesemua anggota TLDM yang berada di luar negara untuk mengundi awal melalui pos dan menjadi tanggungjawab TLDM memberikan kemudahan sewajarnya kepada anggota dalam melaksanakan tanggungjawab kepada negara,” katanya. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com