Anggap HIV Mitos, Bayi 5 Bulan Maut Tidak Dirawat


MOSCOW - Satu siasatan dilancarkan di Russia baru-baru ini susulan kematian seorang bayi lima bulan yang positif HIV berikutan ibunya enggan menerima rawatan kerana percaya virus itu satu mitos.

Wanita terbabit yang sendiri positif HIV selama lebih lima tahun dan sentiasa enggan menerima rawatan perubatan, berdepan dakwaan membunuh dan hukuman sehingga penjara dua tahun di bandar Siberia di Irkutsk.

Penyiasat berkata, bayi terbabit meninggal dunia Februari lalu selepas dijangkiti pneumokistis pneumonia, sejenis radang paru-paru yang menyebabkan jangkitan organ itu di kalangan individu dengan sistem imun terjejas.

"Ibu bayi itu sendiri positif HIV dan enggan menerima rawatan untuk dirinya dan anak perempuannya," kata penyiasat dalam satu kenyataan.

Pusat AIDS serantau berkata, bayi itu didiagnosis dengan permulaan AIDS apabila dirawat di hospital.

"Paru-paru bayi perempuan lima bulan itu boleh dikatakan meletup dari dalam. Wanita itu berkeras mengatakan HIV adalah satu mitos," kata pusat itu dalam satu kenyataan.

Selepas kematian bayinya, wanita itu yang memiliki dua anak lain, menyalahkan pasukan perubatan, mendakwa anaknya maut akibat pneumonia biasa.

Lebih 900,000 rakyat Russia dijangkiti HIV dengan 10 kes baharu setiap jam, menurut kerajaan. -AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com